Sektor perumahan bukan tempat cari untung

Sektor perumahan bukan tempat cari untung

Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Perak mengingatkan kerajaan negeri agar tidak menjadikan sektor perumahan sebagai peluang untuk meraih keuntungan.

Naib Ketuanya, Khairol Najib Hashim berkata, sektor perumahan tidak sewajarnya menjadi ruang sumber utama ekonomi negeri sebaliknya kerajaan negeri seharusnya berusaha menyediakan rumah untuk rakyat dengan nilai serendah yang mungkin.

“Sekiranya kerajaan negeri memikirkan keuntungan dalam sektor ini, maka usaha untuk membina rumah dengan harga yang benar-benar mampu milik tidak berjaya dilaksanakan.
“Itulah yang berlaku ketika ini apabila harga rumah sangat mahal dan menyebabkan rakyat tidak mampu memperoleh rumah sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian dengan merujuk perjanjian kerajaan negeri Perak dengan firma China Huashi Enterprises Company Limited dalam melaksanakan projek fasa kedua Rumah Mampu Milik D Aman Residensi di Meru Raya.

Menurut beliau, faktor harga rumah yang tinggi mendorong kepada penguasaan kelompok tertentu dan rakyat bawahan hanya mampu menyewa sahaja daripada “pemain perumahan” ini.

“Suasana ini akan terus berlaku kerajaan rakyat tidak berkemampuan untuk membeli rumah akibat harga rumah yang tinggi di samping pendapatan perkapita kekal tidak meningkat.

“Antara yang menjadi igauan golongan muda khususnya yang baru membina keluarga adalah soal perumahan.

“Dengan keadaan ekonomi negara, disamping kos kehidupan seharian yang meningkat ketika ini memustahilkan golongan pembeli pertama ini untuk memiliki rumah sendiri, sebaliknya hanya mampu bercita-cita dan memasang angan-angan sahaja,” katanya.

Justeru kerajaan bertanggungjawab memastikan seluruh rakyat di negara ini khususnya di negeri Perak untuk memiliki rumah.

“Perumahan bukanlah bersifat kehendak tetapi ia adalah keperluan bagi manusia.

“Rumah adalah hak asasi manusia yang sewajarnya ditunaikan oleh kerajaan dengan memudahkan rakyat untuk memperolehnya,” katanya.

TAGS