Malaysia Dateline

Mahathir usul Muyiddin tidak dipercayai, Shafei usul Mahathir yang dipercayai

Dewan Rakyat kini berhadapan dengan dua notis usul iaitu usul tidak percaya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh) sebagai Perdana Menteri dan notis usul percaya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad (Langkawi) mempunyai keyakinan Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Usul tidak percaya kepada Muhyiddin dikemukakan oleh Tun Dr Mahathir manakala usul percaya kepada Tun Dr Mahathir dikemukakan oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Semporna) yang juga Ketua Menteri Sabah.

Menurut salinan surat yang dikemukakan oleh Tun Dr Mahathir, usul itu berbunyi “Usul permohonan meminta izin majlis membawa satu usul dan mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin bin Yassin sebagai Ahli Yang Berhormat Pagoh tidak mempunyai keyakinan majoriti ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 26 (1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27 (3) dalam peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.”

Usul itu dikemukakan Tun Dr Mahathir pada 4 Mei 2020 mahu mencadangkan agar Dewan Rakyat memberikan kebenaran kepada Mahathir untuk mencadangkan usul bahawa Muhyiddin tidak mempunyai keyakinan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Notis yang dikemukakan oleh Shafei bertarikh 1 Mei pula berbunyi, “Usul permohonan meminta izin majlis membawa satu usul dan mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa ahli yang berhormat Langkawi mempunyai keyakinan majoriti ahli-ahli yang berhormat Dewan Rakyat di bawah Peraturan mesyuarat 26 (1) dan dibaca bersama peraturan mesyuarat 27 (3) dalam peraturan-peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.”

Namun begitu, Malaysia Dateline dimaklumkan, usul Shafei itu telah ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan alasan ia tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana ia mempertikaikan kuasa Yang Dipertuan Agong.

Ketika ditanya oleh media Shafei cuba mengelak isu itu dengan berkata, “Kita tunggu bila sampai masanya”.

Menurut peraturan mesyuarat itu, usul itu tidak boleh ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat tetapi ia boleh tidak dibincangkan jika kerajaan memasukkan usul dari pihak mereka, yang perlu diberikan keutamaan.