Selagi hidup saya mengundi, kata abang Tok Mat

Selagi hidup saya mengundi, kata abang Tok Mat

Keluar dari pusat pengundian di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau seorang warga emas dilihat tenang berkerusi roda pagi tadi.

Abang sulung kepada calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan itu berkata, kegigihannya untuk keluar mengundi demi memenangkan adik keempatnya itu.

“Selagi hidup saya mengundi. Susah macam mana pun saya bangkit,” kata Datuk Azman Hasan itu ketika ditemui pemberita.

Bekas Pengarah Sime Darby berkenaan memberitahu pada PRU-14 tahun lalu beliau tidak keluar mengundi.

“PRU-14 tidak keluar mengundi. Tok Mat mesti menang. Dia tidak mampu untuk kalah,” tegasnya yang menghidap pelbagai komplikasi penyakit kritikal termasuk masalah prostat.

Azman, 72, berkata seramai lima orang ahli keluarganya termasuk menantu keluar mengundi belum termasuk lagi ahli keluarga lima adiknya yang lain termasuk di Kampung Tanjong.

Calon BN buang undi di SJKC Chung Hua

Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dijangka akan membuang undi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Di Rantau jam 8.15 pagi ini.

Calon BN Datu Seri Mohamad Hassan dan isteri membuang undi di SJKC Chung Hua

Timbalan Presiden Umno itu berentap dengan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Streram serta dua calon Bebas, Mohd. Nor Yassin dan R. Malarvizhi.

Situasi jam 8 pagi ini menyaksikan anggota polis trafik sibuk mengawal lalu lintas.

Beberapa pengundi termasuk warga emas dan berkerusi emas sudah menunaikan tanggungjawab.

Seorang pengundi Cina warga emas mengadu kepada Tok Mat tidak mampu menanti pentadbiran PH walaupun untuk tiga tahun lagi.

Sebanyak 14 pusat mengundi dengan 53 saluran untuk proses pengundian dibuka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ketujuh sejak PRU-14 ini.

Pengiraan penuh kertas undi dan pengumuman keputusan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan.

Seramai 1,100 pegawai dan anggota polis bertugas bagi memastikan proses demokrasi ini berjalan lancar.