Malaysia Dateline

Selagi PN berkuasa indeks kebebasan media terus merosot, kata Guan Eng

Kedudukan kebebasan media Malaysia tidak akan bertambah baik tetapi hanya akan merosot selagi Perikatan Nasional dan Menteri Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifudin Abdullah berkuasa, demikian menurut Lim Guan Eng.

Menerusi kenyataan, Guan Eng berkata, kedudukan Malaysia akan menjadi lebih buruk lagi jika pengisytiharan darurat yang menggantung Parlimen dan undang-undang berita palsu baharu diambil kira.

“Saifuddin berjanji bahawa media akan terus bebas melaporkan berita mengikut batasan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan bagi menangani maklumat palsu berkaitan dengan COVID-19.

“Saifudin tidak memahami bahawa tidak ada yang menolak tindakan terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu mengenai COVID-19,” katanya,

Namun, jelas Guan Eng Saifudin mengabaikan keprihatinan Reporters Without Border (RSF) tentang “pemerintahan kuku besi” pada tahun 2020, yang telah menyebabkan pendakwaan terhadap wartawan, penggeledahan polis, pengusiran wartawan dan pemberi maklumat serta pelanggaran kerahsiaan wartawan.

Kerajaan PN terus menafikan sebab di sebalik kemerosoton 18 anak tangga Malaysia dalam indeks tahunan kebebasan media RSF pada tangga 119, lebih rendah daripada Indonesia di tangga 113.

Katanya, RSF kemudian mengatakan bahawa untuk melindungi daripada serangan kerajaan, ramai wartawan terpaksa menapis suara mereka sendiri.

“Bukan hanya berlaku penapisan kendiri, tetapi mungkin juga alasan mengapa akhbar bahasa terbesar media arus perdana, telah menggugurkan sikap berkecuali dan kebebasan mereka sebelum ini di bawah PH dengan mengambil pendekatan pro-kerajaan.

“RSF mengakui komitmen PH kepada kebebasan media, dengan menyatakan bahawa kedudukan Malaysia meningkat secara mendadak ke tangga 101, selepas pilihan raya 2018, tetapi keadaan telah berubah sejak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengambil alih.

“RSF mengaitkan kemunculan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) – yang disifatkannya sebagai alat propaganda kerajaan – telah mempengaruhi kebebasan media,” katanya.

Justeru katanya, Saifuddin adalah orang yang sudah banyak berubah dari menyokong kebebasan media ketika dia menjadi Menteri PH kepada mengekang kebebasan media,.

“Dari seorang demokrat kepada seorang autokrat, dari penyokong kepada penentang ICERD yang bekerjasama dengan rasis dan ekstremis agama yang pernah dia depani dengan kuat, seorang yang berprinsip menegakkan Manifesto Pilihan Raya PH kepada mengkhianatinya, dari menghapuskan JASA kepada menghidupkan semula JASA.

“Saifuddin malah menafikan bahawa dia adalah Menteri yang mendorong Kabinet untuk mengesahkan ICERD.

“Ini sama seperti Saifudin yang enggan mengakui pendedahan Malaysiakini bahawa pegawai Kementeriannya telah diperintahkan untuk mengikuti, “like” dan “share” akaun media sosialnya dan timbalannya Zahidi Zainul Abidin dan Ketua Setiausaha Mohammad Mentek.

“Rakyat hanya dapat mengetahui kebenaran tentang semua berita palsu ini jika Parlimen dibuka semula dan Ahli Parlimen dapat menjalankan tugas mereka menuntut jawapan dan akauntabiliti.

“Tidak hairanlah Saifudin adalah penyokong kuat untuk menggantung Parlimen supaya tidak dapat mendedahkan berita palsu yang disebarkan oleh “JASA” barunya,” katanya.