Kacau bilau politik negara kerana Umno dan serpihannya iaitu Bersatu sehinggakan Umno sukar untuk menerima keputusan rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu termasuklah direhatkan dari persada Putrajaya hingga keputusan terkini menarik diri dari kerajaan PN sedia ada.
Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria, sejak hari pertama Umno kecundang mereka terus berpolitik dengan memancing Ahli Parlimen sepertimana yang berlaku di Perak sebelum ini.
Kata beliau, sejarah telah membuktikan pancingan mereka berjaya apabila Umno yang mempunyai 54 kerusi atau BN 79 kerusi mampu menumbangkan PH dengan bantuan pengkhianat, namun Umno tidak bernasib baik apabila tidak berjaya mendapat kerusi nombor satu sebagai Perdana Menteri (PM).
“Lebih menyedihkan Umno berserabut dan celaru apabila pemimpin tertinggi mereka iaitu Presiden, Timbalan, Naib dan Ahli Majlis Tertinggi yang senior tidak dipilih menganggotai kabinet oleh Presiden Bersatu.
“Matlamat bagi mendapatkan kerusi tertinggi sebagai PM tidak menjadi realiti. Kini menjadi realistik Umno menarik balik sokongan kepada PM dan kerajaan PN sepertimana yang mereka canang-canangkan dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini ‘No Anwar, No Dap’ dan kini ketara dan nyata ‘No Bersatu, No Anwar dan No Dap’.
“Kedudukan ini membawa percaturan tiada blok politik yang cukup majoriti mudah di Parlimen apabila PH 89, PN 74 dan Umno 37 serta tiada yang layak dari sisi Perlembagaan bagi membentuk kerajaan Pusat,” tegas beliau.
Dengan itu tambah Dr Zaidi, tanpa penjajaran baru ini tiada blok politik yang mampu memastikan kestabilan politik dan tidak dapat dinafikan Umno kini menjadi ‘king maker dan game changer’.
Menurutnya, bagi mengatasi kemelut ini resolusi yang ada ialah kerajaan campuran melalui penjajaran baru dan PM interim sehingga PRU ke 15.