Selain deposit rumah, akaun 2 KWSP boleh keluar & bayar bulanan kediaman

Oleh ARIF ATAN

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa wang KWSP boleh digunakan untuk pembayaran rumah secara bulanan.

Pengeluaran dana KWSP untuk pembayaran bulanan rumah dapat mengurangkan komitmen seseorang dengan ketara, sama ada mereka buat sementara atau tahunan.

Simpanan Akaun 2 akan digunakan untuk bayar ansuran bulanan sekurang-kurangnya enam bulan, atau sehingga masalah kewangan anda selesai.

Siapa Yang Layak Memohon

  1. Warganegara dan Bukan Warganegara (PR atau daftar sebagai Ahli KWSP sebelum 1 Ogos 1998).
  2. Berumur 55 tahun ke bawah.
  3. Sekurang-kurangnya RM600 di dalam Akaun 2.
  4. Membeli/membina sebuah rumah kediaman*
  5. Masih mempunyai tunggakan pinjaman perumahan dengan pemberi pinjaman yang diiktiraf oleh KWSP.
  6. Ansuran bulanan telah bermula.
    Nota:
    *Rumah kediaman – jenis banglo/ teres/ berkembar/ apartmen/ kondominium/ apartmen studio / apartmen servis/ townhouse/ SOHO atau rumah kedai dengan unit kediaman di Malaysia.

Jumlah Yang Boleh Dikeluarkan
Bagi pengeluaran individu dan pengeluaran bersama, jumlah yang boleh dikeluarkan adalah:

Jumlah baki pinjaman perumahan, atau; Kesemua simpanan di dalam Akaun 2, atau; Bayaran bulanan minimum RM100 dan maksimum tidak boleh melebihi jumlah ansuran bulanan selama 6 bulan.

Selain deposit rumah, akaun 2 KWSP boleh keluar & bayar bulanan kediaman
Wang KWSP boleh digunakan untuk pembayaran rumah secara bulanan.

Apa Yang Anda Perlu Tahu

  1. Pengeluaran terhad kepada satu rumah setiap ahli. Pengeluaran seterusnya hanya untuk rumah yang sama sahaja.
  2. Anda boleh membuat pengeluaran untuk mengurangkan ansuran bulanan dan Pengeluaran Menyelesaikan Baki Pinjaman secara serentak.
  3. Tempoh ansuran bulanan tidak boleh melebihi umur 55 tahun.
  4. Tempoh bayaran maksimum bulanan adalah tidak melebihi baki tempoh pinjaman perumahan
  5. Jika rumah dibiayai semula, baki pinjaman yang dikira berdasarkan bayaran pinjaman yang asal dari pemberi pinjaman pertama ATAU baki pinjaman terkini, yang mana lebih rendah. Jika lebih dari satu pemberi pinjaman terlibat, surat tebus hutang akan dibanding dengan baki terkini bagi menentukan amaun yang layak dikeluarkan. Anda tidak layak memohon jika pinjaman asal telah selesai.
  6. Bagi pinjaman perumahan tertunggak yang berstatus NPL dibenarkan untuk memohon pengeluaran ini dengan syarat bayaran bulanan akan dibayar terus ke akaun pinjaman perumahan.
  7. Sekiranya semasa ahli memohon, terdapat bayaran pengeluaran ansuran bulanan pinjaman perumahan peminjam lain masih berkuatkuasa, ahli hanya layak mengeluarkan amaun perbezaan di antara jumlah pengeluaran peminjam lain.
  8. Anda boleh membuat pengeluaran dalam tempoh 30 hari sebelum tarikh ansuran bermula. Bagaimanapun bayaran pengeluaran hanya akan bermula selepas tarikh ansuran sebenar berkuatkuasa.
  9. Untuk pengeluaran berikutnya, anda boleh memohon seawal 30 hari sebelum tarikh pembayaran ansuran bulanan yang terdahulu selesai.
  10. Amaun pengeluaran daripada Akaun 2 akan diasingkan ke akaun khas bagi bayaran ansuran bulanan dan akan dibayar dividen yang dikreditkan ke Akaun 2 sebaik sahaja dividen diisytiharkan pada tahun berikutnya.
  11. KWSP berhak untuk membatalkan pengeluaran bayaran bulanan jika pinjaman telah diselesaikan, rumah dijual/lelong/ hakmilik dipindah atau jika anda didapati bersalah menipu dengan menghantar maklumat/dokumen palsu.

Dokumen Yang Diperlukan

  1. Borang KWSP 9P (AHL) dan Senarai Semak Dokumen (Pemohon kaunter – bukan pemegang MyKad sahaja).
  2. Salinan dokumen pengenalan diri dengan yang asal untuk pengesahan (Bukan Pemegang MyKad sahaja).
  3. Penyata Baki Pinjaman Perumahan mengikut format KWSP ATAU Penyata baki pinjaman perumahan dari LPPSA (Tarikh Penyata Baki tidak melebihi 1 bulan/3 bulan(LPPSA) dari tarikh permohonan diterima).
  4. Perjanjian Jual Beli (S&P) /Bukti Gadai/Penyerahan Pemilikan (Borang Gadai & Surat Hakmilik) – jika maklumat di dalam Penyata Baki Pinjaman Perumahan tidak lengkap.
  5. Buku bank atau salinan penyata akaun bank

Cara Bayaran
Bayaran pengeluaran KWSP secara kredit atau cek, dan baki pinjaman akan dibayar dengan cek kepada pemberi pinjaman (institusi perbankan).