Malaysia Dateline

Selain fokus vaksin, PH kemuka 2 strategi bantu Malaysia urus ekonomi

Selain memfokuskan kepada usaha vaksinasi, Jawatankuasa Ekonomi Pakatan Harapan menyenaraikan dua strategi utama yang perlu dipertimbangkan kerajaan demi kelangsungan kegiatan ekonomi dan mengembalikan keyakinan pelabur dalam keadaan norma baharu.

Antaranya, PH menggesa kerajaan meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam melalui kerjasama sektor swasta sebagai sebahagian daripada pendekatan ‘seluruh masyarakat’ dalam usaha melawan wabak ini.

Menurutnya, infrastruktur kesihatan awam perlu dipastikan mampu untuk menangani kes-kes positif yang dijangka terus tinggi terutamanya kapasiti fasiliti ICU untuk kes-kes kronik.

“Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk membina pusat rawatan khusus untuk Covid-19 bagi mengurangkan beban hospital sedia ada.

“Pendekatan ini pernah diambil dahulu dengan penubuhan hospital khusus untuk pesakit kusta dan pesakit batuk kering (tuberculosis),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat bersama antara DAP, Tony Pua Kiam Wee, Raja Ahmad Iskandar Fareez dan E Hun Tan; AMANAH Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, serta sayap Pemudanya, Syeikh Khuzaifah dan Ammar Atan; PKR, Wong Chen, Dr Tan Yee Kew, dan Noor Amin Ahmad.

Strategi kedua yang dicadangkan ialah mewujudkan ruang kerja kalis pandemik untuk memastikan kesinambungan kegiatan ekonomi.

PH berkata, kebanyakan kilang-kilang, terutamanya industri kecil dan sederhana (IKS) sedang bergelut dengan masalah kewangan dan tentunya tidak mampu untuk menanggung kos untuk mengubahsuai fasiliti mereka menjadi kalis pandemik.

Justeru PH menggesa kerajaan untuk segera membelanjakan sekurang-kurangnya RM15 bilion dalam bentuk geran dan pembiayaan mudah bagi membantu perniagaan daripada semua sektor untuk menjadikan fasiliti mereka kalis pandemik.

“KerajaanPersekutuan tentunya mempunyai sumber dan kekuatan kewangan untuk berbelanja lebih banyak daripada kerajaan Selangor dalam memastikan kejayaan program seumpama ini.

“Langkah-langkah ini perlulah disertakan dengan subsidi ujian saringan di tempat kerja secara berkala sebagai langkah pencegahan awal seiring dengan langkah ‘Find, Test and Trace, Isolate, Support and Vaccinate’ (FTTIS+V) yang disarankan pakar-pakar kesihatan,” katanya lagi.

Jelas PH, dua strategi utama yang dinyatakan akan membantu Malaysia dalam mengurus dan menghidupkan semula sektor ekonomi dalam suasana norma baharu.