Malaysia Dateline

Muhyiddin Yassin

Selain insentif menjelang PRU, mana pelan pemulihan Felda, soal Muhyiddin

Menurut beliau, walaupun insentif yang diterima warga Felda sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung, namun Felda memerlukan satu penyelesaian yang menyeluruh.

“Pemberian insentif yang bersifat ‘one-off’ sebelum menjelang pilihan raya umum bukanlah penyelesaian yang sebenar. Insentif yang diterima boleh meringankan beban mereka buat sementara waktu. Namun, dengan masalah kelewatan bayaran hasil sawit masih berterusan dan pendapatan bulanan masih merosot, peneroka akan kembali terbeban dengan pelbagai masalah,” tegasnya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga menjelaskan bahawa penyelesaian menyeluruh hanya boleh dibuat sekiranya Felda berjaya dipulihkan.

Felda tambah beliau, menanggung kerugian akibat ketiadaan tadbir urus yang baik yang menyebabkan keputusan-keputusan pelaburan yang dibuat merugikan Felda.

Penyenaraian FGV di Bursa Malaysia yang  dikatakan akan memberikan keuntungan kepada Felda, ujarnya menyebabkan Felda menanggung kerugian tidak nyata sebanyak RM1.2 bilion akibat nilai pegangan sahamnya di dalam FGV yang merudum.

“Ini tidak termasuk pelbagai bentuk penyelewengan yang berlaku di dalam Felda menerusi transaksi yang tidak munasabah termasuk pembelian hartanah di luar negara yang melebihi harga pasaran. Jelas ada pihak yang mengaut keuntungan sedangkan peneroka Felda menanggung beban,” kesal beliau.

Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ketika sambutan Hari Peneroka Felda kebangsaan 23 Julai lalu mengumumkan pemberian pelbagai insentif kepada peneroka Felda berjumlah RM1.588 billion.

Ini termasuk insentif khas untuk warga Felda membabitkan peruntukan RM475 juta, pelupusan sebahagian baki pinjaman pembelian saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) berjumlah RM128 juta, pelupusan hutang penanaman semula sebanyak RM519 juta, pewujudan dana khas pelupusan lebihan hutang penanaman semula berjumlah RM300 juta dan geran khas penanaman sebanyak RM166 juta.

Muhyiddin menambah, warga Felda sememangnya memerlukan penyelesaian terhadap permasalahan yang mereka hadapi antaranya beban hutang penanaman semula, tanggungan hutang pinjaman pembelian saham FGV yang merugikan peneroka, kelewatan pembayaran hasil kutipan buah sawit dan pendapatan yang merosot.

Bagaimanapun, tambah beliau, selagi Felda tidak berjaya dipulihkan menerusi peningkatan pengeluaran dan keuntungan, maka segala insentif yang diterima oleh peneroka Felda hanyalah bersifat sementara.

“Penyelesaian menyeluruh hanya akan boleh dicapai jika Felda kembali mencatat keuntungan dan mampu memberikan pulangan hasil yang lumayan kepada para peneroka.
“Malangnya, ketika sambutan Hari Peneroka, iaitu satu hari yang penting kepada peneroka Felda, Najib tidak mengumumkan sebarang rancangan untuk memulihkan Felda yang akan memberi manfaat jangka panjang kepada para peneroka.

“Yang diumumkan hanyalah gula-gula pilihan raya untuk meraih sokongan pengundi Felda yang semakin hilang kepercayaan terhadap kerajaan kleptokrat Najib Razak,” ujarnya.