Malaysia Dateline

Selain pengajian tahfiz, MTUQ beri kemahiran buka peluang pekerjaan

Seringkali Maahad Tahfiz hanya menyediakan pengajian menghafaz kepada para pelajar yang mengikuti pengajian di institusi tersebut.

Namun terdapat juga Maahad Tahfiz yang turut dilengkapi dengan kolam renang seperti di Lubuk Meriam, Tasek Gelugor dan ada juga yang berasaskan perubatan seperti yang wujud di Taman Inang, Perai, Seberang Perai Tengah.

Namun begitu amat berlainan sekali dengan Maahad Tahfiz Al Quran Ummul Qura (MTUQ), Kota Kuala Muda, Kedah.

Ia bukan saja menjadikan MTUQ sebagai pusat pengajian dan pendidikan untuk menghafaz 30 juzuq Al Quran, sebaliknya bakal menjadi pusat kemahiran yang akan membuka peluang pekerjaan yang luas mulai tahun hadapan.

Menurut Pengerusi Pembangunan MTUQ, Suhaimi Md Zain, pusat pengajian tersebut bakal menjadi pusat jahitan pakaian pukal selain menyediakan peluang pendidikan tahfiz serta pelbagai kemahiran.

Suhaimi Md Zain

“Maahad Tahfiz ini akan berperanan sebagai pusat sehenti bagi lepasan sekolah dan juga golongan wanita berusia antara 18 hingga 38 tahun.

“Di samping itu MTUQ akan turut menyediakan latihan kemahiran yang akan dapat diikuti di Maahad Tahfiz ini.

“Antara bidang kemahiran yang bakal disediakan tidak lama lagi termasuklah bengkel jahitan, makanan ringan serta kuih muih sebagai penyediaan kepada golongan tersebut untuk menjadikan ia sebagai sumber pendapatan,” jelasnya lagi.

Bangunan kompleks pengajian dan kemahiran yang sedia ada.

Beliau juga berkata, produk yang dikeluarkan dari Maahad Tahfiz ini akan dipasarkan melalui kerjasama yang telah dijalinkan bersama beberapa syarikat tempatan.

“Apa yang lebih menarik ialah mereka yang terpilih untuk menyertai bengkel serta kemahiran dan latihan tersebut akan turut diberikan elaun.

“Elaun antara RM1000 hingga RM3000 akan diberikan bergantung kepada produk dan mutu kerja yang dihasilkan.

“Yang pasti yuran penyertaan bagi mengikuti bengkel kemahiran di MTUQ akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak pengurusan,” tegasnya lagi.

Malah katanya pelatih akan turut diwajibkan untuk mengikuti jadual kuliah agama dan al-Quran yang disediakan secara percuma oleh pihak pengurusan dari semasa ke semasa.

Tambah Suhaimi lagi, melalui kaedah yang disediakan, MTUQ akan menjadi Maahad Tahfiz pertama dalam negara yang turut mengutamakan kemahiran di samping peluang pekerjaan kepada para pelajar dan masyarakat umum.

Adalah difahamkan MTUQ merupakan satu-satunya institusi tahfiz yang mempunyai pelbagai persediaan bagi menyediakan peluang pekerjaan melalui latihan kemahiran yang disediakan setelah wujudnya kerjasama dengan pelbagai syarikat.