Malaysia Dateline

Selain Rizab Tunai, kerajaan Johor boleh guna TAWNJ bantu 3.6 juta rakyat

Semalam Adun Kota Iskandar, Sr Dzulkefly Ahmad telah mengeluarkan kenyataan berkenaan saluran bantuan untuk membantu golongan terjejas melalui Rizab Tunai negeri Johor sebanyak RM 3.068 billion.

Hari ini, Dzulkefly dalam satu kenyataan menyebutkan terdapat sumber lain yang boleh digunakan oleh kerajaan Johor bagi membantu golongan yang tejejas sewaktu penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, Tabung Amanah Warisan Negeri Johor (TAWNJ) yang berbaki sebanyak RM680.37 juta menurut laporan audit negara 2018 mampu diperuntukkan kepada 3.6 juta rakyat yang sedang menghadapi saat kecemasan di negeri ini.

“TAWNJ ditubuhkan pada tahun 1990an dengan dana RM300 juta yang merupakan pampasan Empangan Linggui untuk ‘Public Utilities Board of Singapore (PUB)’. Dana tabung ini tidak boleh digunakan untuk pembangunan dan hanya boleh digunakan berkaitan air dan di waktu kecemasan atau darurat sahaja.

“TAWNJ mempunyai pegangan dalam pelaburan yang strategik antaranya 30 peratus saham BSNC Corporation Berhad dan 17.24 peratus saham dalam Al-Salam Reit.

“Sekarang ini 3.6 juta rakyat Johor sedang menghadapi saat kecemasan khususnya untuk meneruskan kehidupan terutamanya golongan yang terkesan langsung dengan perlaksanaan PKP.

“Sudah sewajarnya kerajaan Johor menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi membela rakyat yang terkesan walaupun terpaksa menggunakan Rizab Tunai atau TAWNJ,” tegasnya ketika dihubungi wartawan.

Dalam pada itu tambahnya, golongan yang terkesan teruk dengan perlaksanaan PKP ini adalah mereka yang tidak mempunyai majikan dan mereka juga tidak mencarum untuk KWSP serta Perkeso.

“Dengan kata lain, mereka ini tidak mendapat manfaat daripada bantuan Insentif Ihsan Johor yang diumumkan oleh Menteri Besar Johor ataupun bantuan RM600 sebulan yang diberikan kepada pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji.

“Mereka adalah golongan seperti peniaga atau penjaja kecil-kecilan, mereka yang mendapat gaji atau upah secara harian, penoreh getah, buruh dan petani,” tegasnya lagi.

Sementara itu, Dzulkefly yang merupakan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor telah menyediakan sebanyak 1,000 bantuan berbentuk barangan keperluan harian dan alat keselamatan Covid-19 yang telah diedarkan di Dun Kota Iskandar.