Malaysia Dateline

Selain suntikan vaksin, Mahathir nasihat jauhkan diri dari orang lain

Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah dinobatkan sebagai Perdana Menteri tertua di dunia menasihatkan agar rakyat di negara ini berusaha keras mengekang penularan Covid-19.

Bekas Perdana Menteri itu mengingatkan tiada jalan mudah untuk melawan pandemik yang setakat semalam telah sudah mencecah 518,600 kes dan meragut 2,309 nyawa.

“Sebenarnya cara terbaik untuk selamat diri dari jangkitan selain suntikan vaksin ialah dengan menjauhkan diri dari orang lain. Lebih dari satu meter lebih baik.

“Kalau perlu kerja, jauhkan diri dari pekerja lain. Bukan sahaja semasa bekerja atau sembahyang tetapi juga semasa berjalan pergi balik ke tempat kerja,” nasihatnya dalam satu kenyataan malam tadi.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) itu menegaskan langkah menjauhkan diri daripada orang lain menjadi penting kerana virus Covid-19 boleh ditiup angin (airbone).

“Memang susah. Tetapi tidak ada jalan yang senang melawan Covid-19,” tegas Ahli Parlimen Langkawi itu yang bakal berusia 96 tahun pada 10 Julai nanti.

Dalam masa sama, beliau menyifatkan mereka yang tidak dijangkiti hingga kini ialah mereka yang mengamalkan prosedur operasi sStandard (SOP) kesihatan dengan baik.

“Tetapi mereka yang berkuasa hendaklah tentukan SOP diamal dengan baik oleh semua. Menentukan SOP dipatuhi lebih baik daripada mengena denda yang tidak dapat dibayar oleh orang yang sudah miskin kerana tidak dapat bekerja dan berniaga,” ujarnya.

Mahathir turut menyelar golongan yang menolak dan tidak bersetuju dengan suntikan vaksin Covid-19 sehingga menghasut orang lain supaya menolaknya.

“Mereka yang suruh minum air kelapa untuk selamat diri sebenarnya mengkhianati masyarakat.

“Merekalah yang ingin lihat ramai mati kerana tidak disuntik (vaksin),” tegasnya yang telah menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech di Langkawi pada 7 Mac lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, sebenarnya di United Kingdom hanya suntikan sekali sahaja vaksin AstraZeneca sudah dapat mengurangkan kes baharu sebanyak 70 peratus.

“Di Amerika Syarikat, 128 juta orang sudah disuntik dan angka kes baharu amat kurang.
“Jika benarlah suntikan menyebabkan kematian ramai, dari 128 juta yang disuntik tentulah ratusan ribu yang maut.

“Dapatkah disembunyi jenazah yang begini banyak? Nak simpan di mana?” tambahnya lagi.