Malaysia Dateline

Selain usaha vaksinasi, Selangor peruntuk RM10.7 juta fokus saringan Covid-19 fasa ketiga

Kerajaan Negeri Selangor akan terus memfokuskan kepada usaha saringan percuma Covid-19 secara besar-besaran dengan memperuntukkan sebanyak RM10.7 juta untuk fasa ketiga kelak.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ujian saringan harus dilaksanakan serentak sehingga imuniti kelompok dicapai biarpun disebalik saranan beberapa pihak agar kerajaan memfokuskan kepada usaha vaksinasi berbanding saringan Covid-19.

Beliau mengambil contoh United Kingdom pada November tahun lalu yang melancarkan Operation Moonshot iaitu sebuah inisiatif saringan secara besar-besaran di seluruh United Kingdom sebagai langkah mengawal pandemik Covid-19.

“Walaupun kadar vaksinasi di UK sudah mencapai hampir 59 peratus, iltizam untuk terus melakukan saringan secara besar-besaran masih diteruskan.

“Sehingga kini, sebanyak 182,624,589 saringan telah dilakukan di seluruh United Kingdom.

“Amalan-amalan terbaik kesihatan awam seperti ini wajar dicontohi di Malaysia,” katanya dalam perutusan khas Pakej Kita Selangor 2.0 hari ini.

Justeru itu Amirudin berkata, Selangor akan meneruskan usaha melakukan saringan percuma untuk fasa ketiga dengan sasaran 100,000 saringan di seluruh Negeri Selangor.

Jelasnya, fasa ketiga itu nanti akan berasaskan dua strategi berdasarkan dapatan fasa pertama dan fasa kedua, iaitu penumpuan kepada kawasan hotspot kes Covid-19 dan kawasan industri serta kilang.

“Mengambil kira kejayaan ujian saringan percuma ini mengesan ‘silent carriers’ dan penyertaan yang sangat menggalakkan daripada rakyat Selangor dan rakyat dari negeri lain melebihi sasaran 50,000 individu, kerajaan negeri akan melaksanakan ujian saringan Covid-19 percuma fasa ketiga, dengan sasaran 100,000 saringan di seluruh Negeri Selangor,” katanya lagi.