Selalu kena curi alasan pemilik premis di Kangar tidak pasang bendera

Selalu kena curi alasan pemilik premis di Kangar tidak pasang bendera

Bendera selalu kena curi adalah  antara alasan yang diberikan  pemilik premis di sini mengapa mereka masih  tidak memasang Jalur Gemilang sungguhpin sambutan Hari Kebangsaan kian hampir.

Peniaga kedai runcit, Chan Ah Huat, 49 berkata beliau tidak  lagi menggantung bendera kerana selalu dicuri oleh orang-orang yang tidak dikenali.

Jawapan yang sama diberi oleh pemilik kedai menjual motosikal, Khor Yee Kang, 55 yang berkata sebelum ini beliau pernah memasang banyak bendera di hadapan premis kedainya, tetapi pada malam 31 Ogos kumpulan anak-anak muda datang beramai-ramai menunggang motosikal melarikan bendera itu.

Isu tidak banyak premis di sini yang memasang Jalir Gemilang menjelang Hari Kebangsaan diakui oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Azizan Sulaiman.

Menurut Azizan, sejak beberapa minggu lalu pihak Majlis Perbandaran Kangar (MPK) telah mengeluarkan arahan kepada  pemilik premis terbabit supaya memasang bendera di premis masing-masing.

Menurut beliau disebabkan sambutan yang begitu dingin, pihak MPK terpaksa mengeluarkan peringatan susulan untuk memastikan semua premis dipasang bendera dalam tempoh tiga hari kehadapan ini.

Azizan menyatakan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Perlis (PSMCNPs) Busu Ibrahim kepada Bernama semalam tentang sambutan dingin pemilik premis dalam kawasan operasi MPK  memasang Jalur Gemilang.– BERNAMA