Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) hari ini menerima persoalan dari individu yang bertanyakan sama ada dibolehkan atau tidak untuk seseorang meminta sumbangan dari orang ramai untuk ‘mewakafkan makanan’ kepada orang susah.
“Assalamualaikum datuk, adakah dibolehkan untuk kita wakaf makanan? Contohnya, saya nak anjurkan program bantuan makanan untuk golongan yang memerlukan dan saya akan buat iklan “Wakaf Makanan” untuk minta sumbangan dari orang ramai. Mohon pencerahan,” tulis soalan tersebut.
Pejabat mufti dalam jawapan ringkasnya menjelaskan bahawa makanan tidak boleh diwakafkan kerana manfaat harta yang ingin diwakafkan mestilah dapat digunakan berterusan seperti tanah, rumah, telaga dan kereta.
MWP berkata, manfaat makanan tidak dapat digunakan berterusan kerana selepas makanan itu habis maka manfaat yang diberikan terhenti setakat itu sahaja.
Sebaiknya mufti berkata, orang ramai menggunakan nama lain yang lebih sesuai bagi menggantikan kempen ‘Wakaf Makanan’ seperti Infak Makanan atau Sedekah Makanan kerana lebih tepat dan mencapai maksud kempen yang ingin dilakukan.
“Perkara utama dalam merungkai persoalan yang ditanyakan ini adalah dengan memahami maksud wakaf itu sendiri. Wakaf bermaksud menahan hak pewakaf untuk melakukan urusan jual beli, pewarisan dan sebagainya ke atas harta yang boleh dimanfaatkan dengan mengekalkan sifat fizikal harta itu, untuk mendekatkan diri kepada Allah.
“Kebiasaannya, perkara yang boleh diwakafkan adalah harta yang boleh memberi manfaat yang berterusan sama ada harta tidak alih (‘aqar) seperti tanah, bangunan, telaga dan seumpamanya atau harta alih (manqul) seperti kereta, haiwan tunggangan, pinggan mangkuk dan sebagainya.
“Para ulama menyatakan bahawa wakaf adalah sedekah jariah. Ganjaran bagi orang yang berwakaf akan mengalir berterusan selagi harta yang diwakafkan itu wujud dan boleh diambil manfaat darinya. Contohnya, seseorang mewakafkan RM100 untuk pembinaan surau/masjid, selagi surau/masjid itu masih wujud maka selagi itulah dia akan mendapat pahala,” katanya.
Tambahnya lagi, ulama mazhab Syafie turut menyatakan bahawa makanan tidak boleh diwakafkan.
Ini adalah kerana manfaat yang boleh digunakan dari makanan tidak bersifat berterusan dan akan habis dengan cepat.
“Oleh itu, makanan akan menyebabkan tujuan berwakaf tidak dapat dicapai iaitu untuk memberi manfaat yang berterusan,” katanya.
Baca juga: “Buat apa belajar penat-penat sampai universiti tapi gaji RM2,000, lebih baik jadi TikTokers!”
Baca juga: Lufya masih belum beri kerjasama soal penculikan anak kepada polis