“Selama ni aku ingat isteri mesej panjang sebab nak perhatian, lepas aku baca balik, aku nekad…”

Oleh MAISARAH AISYA

Bagi pasangan yang menjalini hubungan jarak jauh atau pjj pastinya agak memenatkan buat suami atau isteri kerana terpaksa menguruskan hal rumah tangga secara berasingan.

Ditambah pula jika ada anak, hanya ada satu figura di rumah untuk menguruskan mereka manakala pasangan pula hanya dapat pulang dua kali dalam sebulan.

Seorang lelaki yang juga bapa kepada tiga anak membuat luahan perasaan mengenai sikap dingin isterinya semasa melakukan pjj.

Sudah tujuh tahun usia perkahwinan, hubungan mereka pada awalnya baik namun segalanya berubah apabila mereka membuat keputusan untuk pjj selepas empat tahun berkahwin.

Di bawah adalah perkongsian tersebut.

Aku ini dah lebih kurang nak dekat empat tahun pjj dengan isteri dan anak-anak. Balik waktu hujung minggu sahaja.

Biasa kalau aku balik, isteri suka ajak bersembang. Kadang-kadang lepak dekat balkoni rumah sambil sembang tengah-tengah malam tengok bintang. Aku suka..

Tapi sekarang isteri aku banyak berkepit dengan telefon. Bercakap dengan aku pun acuh tak acuh. Katanya penat.

Nak menyembang pun dah tak ada masa. Padahal aku tengok dia tak ada buat apa pun. Main telefon, pastu asyik tidur.

Bila masa makan pun dah tak teman aku. Dia dah tak macam dulu. Kadang kat rumah pun selekeh.

Aku pernah tegur penampilan dia, berat badan dia yang dah makin naik, tapi jawapan dia “Pergilah kahwin lain. Cari isteri yang cantik..”

Macam tu je dia jawab. Tak ada pun dia rasa nak cantikkan diri untuk aku ke apa.. Aku memang betul-betul rasa dia dah lain.

Isteri aku ni memang dari awal perkahwinan dia dah maklum dia tak anti-poligami. Tapi aku tak suka bila setiap kali aku tegur, dia mesti akan bidas suruh aku kahwin lain.

Dulu jarang dia menjawab cakap aku dengan ayat-ayat macam tu. Tapi sejak-sejak ni asyik itu je yang dia cakap. Suruh aku kahwin lain. Lama-lama aku rasa aku ni beban pada dia.

Aku rasa dia tak sayang pun aku, meluat tengok muka aku sebab tu dia nak sangat aku kahwin lain.

Kalau isteri lain mungkin dah cemburu suami cakap nak kahwin lain. Tapi dia ni tak.. Bukan setakat tak cemburu, suruh aku tambah lagi ada lah..

Lelaki lain mungkin rasa seronok isteri bagi greenlight tambah isteri lagi, tapi bukan aku. Aku tak suka. Aku sayang dia. Aku nak dia seorang.

Tapi sikap dia yang konon pro-poligami tu buat dia layan aku acuh tak acuh. Bagi dia dah kalau dia tak sempurna dan tak boleh nak buat aku suka pada dia, pergilah cari lain..

Dah macam escapism dah kan.. Dia jadikan benda tu sebagai alasan bermalasan untuk layan aku, tak nak terima nasihat aku, nak lepaskan diri dari aku. Korang faham tak?

Tapi apa pun alasan dia, aku tetap sayang dia dan Insyaallah takkan menduakan dia. Cuma sejak dua menjak haritu aku perasan dia dah mula lain.

Aku diamkan je. Tak nak tegur apa-apa sebab aku tahu dia punya jawapan macam mana. Aku pernah tanya pasal perubahan dia, try nak nak ajak bincang, tapi dia kata,

“Tak ada apa pun nak dibincangkan.. Selama ni saya cuba nak ‘bercakap’ dengan awak, tapi satu pun awak tak pernah nak dengar..”

Ada masa kalau aku ingat, aku reply (balas mesej) la. Tapi kebanyakan masa memang aku tak reply.

Balik rumah hujung minggu nanti pun memang dia akan cerita balik semua benda yang dia whatsapp kat aku tu. Sama je kan. Tu apa yang aku rasa pada mulanya..

Kami jarang bergaduh. Kalau bergaduh memang aku tak pernah layan. Dia bebel pun aku diam je. Sebab aku rasa kalau aku respon, lagi bertambah buruk.

Memandangkan aku ni tak pernah nak respon kalau gaduh depan, jadi ada masa kalau dia tak puas hati, dia akan whatsapp aku panjang berjela..

Tapi aku tak nak serabut kepala, aku tak baca langsung semua whatsapp dia panjang-panjang tu.

Aku tau isteri aku ni jenis kalau marah tak reti marah lama-lama. Itu sangkaan aku pada mulanya.

Tapi aku silap, makin lama isteri aku makin berubah. Tak banyak cakap. Macam-macam cara aku cuba pujuk dia, tapi dia buat tak layan.

Makin lama aku pula yang makin serabut..Aku asyik fikir apa salah aku sampai dia jadi macam tu? Tapi betul ke salah aku?

Baca semula mesej lama

Satu malam tu aku tak dapat tidur sebab teringat kat dia. Aku call, dia tak angkat. Tak tau la sama ada dia dah tidur atau dia sengaja tak nak angkat..

Tiba-tiba aku teringat dulu dia pernah merungut kata aku selalu tak baca mesej-mesej whatsapp yang dia hantar.

Jadi malam tu aku terdetik nak baca segala whatsapp dia yang panjang berjela (mesej tak puas hati atau gaduh) sebelum ni yang pernah dia hantar tapi aku langsung tak baca..

Malam tu buat pertama kali aku baca setiap luahan hati dia yang aku tak pernah nak ambil tau. Rupanya dia selalu nak mengadu kat aku yang dia letih. Letih struggle jadi ‘single mom’ sepanjang hujung minggu.

Dengan kerja lagi, kerja rumah, anak-anak semua dia nak kena urus sendirian. Dia mengharap aku selalu whatsapp ambik berat pasal dia dan anak-anak.

Nak aku ungkap kata sayang pada dia selalu, sekurangnya benda tu bagi semangat pada dia untuk terus kuat.

Tapi aku langsung tak tunaikan apa yang dia nak. Boleh kira dengan jari berapa kali aku tanya khabar dia dan anak-anak.. Ungkap sayang? Setahun sekali pun susah..

Bila dia hantar whatsapp panjang lebar, aku cuma rasa yang dia ni mengada saja nak cari gaduh. Padahal mesej dia yang panjang lebar tu cuma nak aku faham dia..

Faham kelelahan dia.. Faham keadaan dia yang sangat memerlukan aku untuk terus kuat. Dia cuma dambakan penghargaan dari suami dia.

Tapi aku bodoh sebab aku tak pernah bagi apa yang dia nak. Padahal benda tu simple je pun..

Ada satu whatsapp dia hantar dia mengadu pada aku minta izin untuk berhenti kerja. Dekat office dia hampir dicabul oleh supervisor dia. Memang sebelum ni dia pernah cerita pasal supervisor dia yang bermasalah ni..

Tapi bila dia buat aduan pada pihak atasan, rakan sekerja lain semua pulaukan dia kata dia buat fitnah.

Dia dah hilang rasa seronok kerja kat situ. Asyik kena buli. Kerja semakin bertambah.. Dia penat sebab terpaksa balik lambat selalu.

Terkedu aku baca mesej ni.. Ya Allah.. Kenapa aku bodoh sangat tak baca whatsapp dia? Aku tak tahu langsung pasal ni.

Aku tak sangka rupanya dah berbulan-bulan isteri aku menghadap masalah ni seorang diri. Sepatutnya aku jadi pelindung dia. Kalau aku tahu dia terseksa, memang dah lama aku suruh dia berhenti kerja..

Lepas baca mesej panjang tu aku tak dapat tidur..Aku rasa aku bodoh sangat sebab tak pernah nak faham dia. Aku ingat segalanya elok sahaja.

Bila dah lama pjj aku jadi lupa fitrah seorang isteri tu tak sama macam suami. Aku serah bulat-bulat semua urusan rumah dan anak pada dia.. 100 peratus! Aku cuma bagi nafkah.

Ya, nafkah zahir. Tapi batin isteri aku terseksa aku tak pernah nak ambik tahu. Dan lama kelamaan jugak mungkin isteri aku rasa dia seolah dah tak perlukan aku dalam hidup.

Ada tak ada aku ni macam tak ada fungsi bagi dia. Dia mula menjauh..

Aku dah mula faham kenapa dia selalu bidas cakap aku dengan menyuruh aku kahwin lain. Bukan dia tak cemburu, tapi sebab dia dah tawar hati.

Tengok muka aku ni bukan lagi ‘penawar’ bagi dia. Kalau boleh dia tak nak dah tengok muka aku lagi..

Esoknya aku ambil cuti, pastu aku saja pergi pejabat dia nak jumpa dia nak buat kejutan kot boleh lunch sama ke..

Tapi kata staff situ isteri aku dah berhenti kerja dua atau tiga minggu yang lepas. Tebal muka aku hanya Tuhan yang tahu.

Korang bayangkan isteri sendiri berhenti kerja tapi suami tak tahu. Bodohnya aku! Aku betul-betul rasa aku ni suami yang tak guna.

Masa itu juga aku pecut balik rumah nak jumpa dia. Waktu tu dia punya terkejut bila tengok aku kat depan pintu.

Cepat-cepat dia bagitahu dia terpaksa ambil cuti, tak dapat nak pergi kerja sebab tak sihat la apa la. Dia ingat aku tak tahu apa yang dah berlaku.

Air mata aku tak boleh nak bendung dah waktu tu. Aku hanya mampu peluk dia dan menangis semahu mahunya..

Sepanjang tujuh tahun berkahwin aku tak pernah ucap kata maaf pada dia.. Itulah kali pertama aku minta maaf pada dia.

Kata maaf dari seorang suami yang tak pernah nak hargai isteri sendiri. Sebelum kahwin aku janji akan susah senang bersama, tapi bila kahwin aku biar dia susah seorang diri.

Memang patut pun dia benci aku..

Sejak tu aku janji dengan dia aku takkan biarkan dia hadap semua benda ni seorang diti lagi. Aku tak pernah kisah pun dia berhenti kerja sebab dia kerja pun aku tak pernah paksa.

Aku buat keputusan untuk bawak isteri dan anak-anak aku tinggal dengan aku. Tak perlu pjj lagi. Biar aku seorang yang kerja.

Tak apa kalau tak senang macam dulu pun, janji isteri dan anak-anak aku bahagia. Duit boleh dicari. Tapi isteri yang baik dan setia takkan pernah ada ganti.

Baca juga: Suami menangis di parkir lot KLIA, dapat tahu isteri curang dengan murid Tingkatan 5