Malaysia Dateline

‘Selamat berjuang, selamat mengkhianati mandat rakyat,’ sindir Sany kepada Hasnul

“Saya ucapkan selamat berjuanglah, selamat bersama dengan kleptokrasi, selamat bersama dengan penyangak dan selamat mengkhianati mandat rakyat.”

Itulah bunyi sindiran Jawatankuasa Pimpinan AMANAH, Sany Hamzan terhadap bekas Ketua Pemuda parti itu, Hasnul Zulkarnain yang mengumumkan keluar parti dan menjadi Adun bebas semalam.

Susulan keputusan Hasnul untuk keluar daripada Pakatan Harapan, Sany menyifatkan AMANAH langsung tidak terkesan dengan tindakan Adun Titi Serong itu.

“Kami (AMANAH) tidak terkesanlah. Kita langsung tidak terkesan. Ini (keluar parti) merupakan satu pengkhianatan iaitu kepada parti itu sendiri dan juga kepada rakyat.

“Pada saya mereka itu kena ada integriti dan maruah. Mereka lompat kepada Bebas dan menyokong Perikatan Nasional (PN) yang kita tahu bahawa kerajaan PN ini adalah kerajaan pintu belakang atau kerajaan haram.

“Kerajaan yang merompak di tengah jalan, dan juga kerajaan yang mengkhianati mandat diberikan oleh rakyat,” tempelaknya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Sany Hamzan yang juga bekas Ketua Pemuda AMANAH Nasional membidas demikian apabila ditanya tentang tindakan Hasnul yang bertindakan di luar jangkaan semalam.

Sany turut menyifatkan tindakan Hasnul yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak sebelum ini, adalah pengkhianatan yang sangat besar.

“Jadi adakah kita nak bersama, bersekongkol dengan pimpinan-pimpinan daripada Umno-BN yang telah ditolak oleh rakyat dalam PRU lalu?

“Pada saya, ini merupakan satu pengkhianatan yang sangat besar kepada rakyat dan Pakatan Harapan itu sendiri. AMANAH akan terus mempertahankan mandat rakyat!,” tegas Sany yang juga Adun Taman Templer.

Semalam, Hasnul bersama dua Adun PH Perak mengumumkan keluar parti dan menjadi Adun bebas susulan pembentukan kerajaan PN di Perak.

Selain Hasnul, Adun Tronoh dan Buntong daripada DAP iaitu Paul Yong Choo Kiong dan A Sivasubramaniam turut menyatakan sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dari Bersatu.