Selamat Hari Sungai Sedunia: Jangan luluskan projek tidak mampan di kawasan tadahan air

Oleh ARIF ATAN

Sungai adalah nadi kehidupan manusia dan juga makhluk ciptaan Tuhan yang lain. Walaupun kebanyakan daripada kita telah hidup pada zaman yang serba moden, tidak seperti zaman masyarakat zaman dulu yang hidup berhampiran sungai – memerlukan sungai yang bersih dan kuantiti yang banyak untuk minuman, memasak, membasuh pakaian, bercucuk tanam, menangkap ikan dan sebagainya – namun kepentingan sungai yang bersih kepada kehidupan manusia tetap relevan sepanjang masa.

Kita memerlukan sungai yang bersih dari bahagian hulu sehinggalah ke hilir untuk menampung kehidupan seharian kita.

Air paip bersih yang kita gunakan setiap hari di rumah, datangnya dari sungai, anak-anak sungai dan alur yang bersih dari kawasan Huran Tadahan Air – Sebelum ianya diempang, ditapis dan dirawat di stesen rawatan air untuk kualiti yang lebih baik.

Makanan yang kita makan setiap hari memerlukan air sungai yang bersih dalam kuantiti dan kualiti yang tinggi. Makanan ruji seperti padi, sayur-sayuran dan buah-buahan memerlukan pengairan yang mencukupi dan kualiti air yang tidak tercemar.

Bahkan makanan akuatik seperti ikan, udang, ketam, kerang, siput sehinggalah ke makanan laut yang lain juga memerlukan aliran air sungai yang bersih.

Penyakit kronik

Pencemaran sungai jangan dibuat main-main dan ditambah dipandang remeh tuan-tuan dan puan-puan. Telah banyak penyakit kronik yang dihidapi oleh manusia akibat daripada pencemaran sungai.

Saintis telah membuktikan bahawa sungai yang tercemar akibat sisa kimia dan plastik daripada aktiviti industri, perumahan, kolam-kolam akuakultur, dan aktiviti manusia yang lain memberi risiko kepada kita untuk memakan makanan laut dan sungai yang beracun dan bertoksik – Sehingga boleh membawa kepada penyakit kronik seperti kanser, diarrhoea, cholera, dysentery, typhoid, polio dan lain-lain.

Berapa ramai yang tahu bahawa makanan laut kita juga sekarang ini telah mengandungi kandungan mikroplastik yang boleh membawa kepada kanser? Dan spesies bercengkerang seperti kerang, kepah, lala dan sebagainya yang memakan bahan sisa di sekelilingnya boleh mengandungi racun?

Tidak cukup dengan itu, barangkali kita juga bakal menghadapi krisis makanan dan kebuluran jika sawah-sawah padi kita dan tanah pertanian yang lain tidak subur akibat tidak cukup pengairan sekali gus mengancam keselamatan makanan negara. Takkan kita akan terus bergantung kepada makanan import yang sebahagian besarnya diawet dan mengandungi bahan kimia.

Bagaimana jika berlaku peperangan dan negara tersebut tidak dapat mengeksport sumber makanan ke negara kita, sudah tentu keselamatan makanan negara kita akan terancam.

Itu tidak termasuk lagi dengan stesen-stesen janakuasa elektrik yang memerlukan air sungai yang terawat untuk mesin dandang (boiler) untuk menjana kuasa elektrik.

Misalnya dalam laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) – stesen Janamanjung, stesen janakuasa elektrik terbesar di Semenanjung Malaysia berdepan dengan isu bekalan air bersih dan terawat apabila stesen rawatan air di Teluk Kepayang, Bota, Perak kadang-kadang terpaksa berhenti seketika (“shut down”).

Puncanya kerana tidak mampu merawat air sungai Perak yang kadang-kadang terlalu keruh melebihi 1000 NTU (takat kekeruhan) kesan daripada mendapan, pembukaan tanah, pencemaran dan juga kadang kala kuantitinya tidak cukup akibat musim kemarau.

Senario ini bakal mengancam keselamatan tenaga negara yang mana bekalan elektrik kita mungkin terputus untuk jangka masa yang lama jika bekalan air yang tidak konsisten tidak mampu dibekalkan kepada Janamanjung.

Kebanyakan saliran sungai kita (lebih kurang 70 peratus) digunakan untuk dibekalkan kepada sektor pertanian. Namun, dalam masa yang sama ia digunakan untuk pelbagai sektor yang lain seperti industri, penjanaan tenaga, perumahan, rekreasi dan bermacam lagi.

Namun, dengan perebutan untuk menggunakan air sungai ini, adakah kita mempunyai bekalan air yang cukup untuk jangka masa yang panjang?

Jawapannya adalah YA dan TIDAK

Sebenarnya kita menerima air yang cukup untuk setiap tahun kerana Malaysia menerima lebih kurang 3.5 kali ganda kadar hujan berbanding purata kadar hujan global (2,940 mm / tahun).

Walaubagaimanapun, air yang bersih dalam kuantiti dan kualiti yang tinggi yang boleh kita gunakan tidaklah sebanyak mana yang kita terima daripada alam semulajadi akibat pencemaran sungai, kemusnahan kawasan tadahan air, dan pembangunan yang tidak mampan yang membuatkan air kita banyak tidak boleh digunakan dan terbuang begitu sahaja.

Dalam masa yang sama, perebutan terhadap sumber air ini semakin meningkat terutamanya untuk kegunaan domestik dan industri yang semakin berkembang dan membuatkan sumber ini semakin terhad untuk sektor-sektor yang lain terutamanya pertanian.

Banyak kawasan tadahan air dan lembangan sungai tidak mempunyai air yang cukup untuk menampung keperluan ini terutamanya di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Melaka; di mana negeri-negeri ini telah disenaraikan sebagai negeri yang defisit air (tidak cukup air).

Oleh itu, adakah kita akan melihat senario ini boleh terjadi di negeri-negeri besar yang lain?

Sudah tentu kita tidak mahu perkara ini terjadi, sudah tentu kita tidak mahu menghadapi gangguan bekalan air, kenaikan harga barang makanan akibat daripada pengeluaran padi dan pertanian yang semakin menurun serta ikan-ikan di laut yang semakin tercemar dan semakin berkurangan.

Menyelamatkan dan melindungi sungai bukan kerja yang sia-sia sebaliknya ia adalah seumpama untuk menyelamatkan nyawa kita sendiri.

Tenaga pemantauan

Buat orang awam, tolonglah hargai kepentingan sungai. Pastikan sungai di kawasan sekeliling anda tidak dicemari dengan sisa-sisa yang tidak sepatutnya akibat perbuatan anda, orang lain dan pencemaran yang dilakukan oleh syarikat yang tidak bertanggungjawab.

Bersama-sama membantu agensi kerajaan dalam memastikan sungai kita terjaga. Sila pantau ambil tindakan jika ada sebarang pencerobohan tanah, pembukaan kawasan pinggir sungai, pembalakan yang tidak mengikut garis panduan dan aktiviti pencemaran yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Buat ahli politik pihak kerajaan pula, tambah lagi tenaga pemantauan dan penguatkuasaan untuk memastikan sungai kita terpelihara.

Reformasi urus tadbir dan pengurusan juga harus dilakukan seperti agensi yang menjaga, mengurus dan menguatkuasakan sungai harus diseragamkan dan diberi kepada JPS.

Selain itu, jangan sewenang-wenangnya meluluskan projek pembangunan yang tidak mampan di kawasan alam sekitar yang istimewa dan sensitif khususnya di kawasan tadahan air, sungai yang penting dan sebagainya.

Buat pihak swasta dan pemaju pula silalah bertanggungjawab dengan aktiviti anda dan bermoral dalam setiap perniagaan anda.

Akhir kalam, Selamat Menyambut Hari Sungai Sedunia 2021 buat semua. Sempena sambutan ini, kami sedang mengadakan festival kesedaran alam sekitar Nature Art Festival – NAFAS dari 25 September hingga 2 Oktober yang anda boleh ikuti perkembangannya di Facebook Rakan Segari.