Struktur terakhir Stadium Shah Alam telah pun selamat dirobohkan semalam, menurut pemakluman dari laman rasmi Kompleks Sukan Shah Alam.
Dengan ini tiada lagi binaan asal yang masih berdiri untuk memberi laluan kepada pemulaan sepenuhnya kerja-kerja pembangunan stadium yang baharu.
“Sekitar jam 10.20 pagi tadi (27 Januari), kolum terakhir Stadium Shah Alam telah diturunkan. Tiada lagi struktur asal stadium yang masih berdiri,” kongsi laman itu.
Sebelum ini, fasa perobohan dilaporkan telah mencapai 60 peratus.
Sekiranya perobohan Stadium Shah Alam berjalan lancar, fasa tersebut bakal selesai menjelang pertengahan tahun 2025.
Ini akan membuka jalan kepada fasa pembinaan Stadium Shah Alam yang baru. Fasa pembinaan stadium baru itu dijangka selesai pada tahun 2028.
Selain stadium, pembinaan KSSA sepenuhnya pula dijangka siap menjelang tahun 2030.
Stadium baru yang bakal dibina menggantikan Stadium Shah Alam itu bakal memiliki kapasiti antara 40,000 hingga 50,000 tempat duduk.
Fasa kedua pula membabitkan pembinaan teater tertutup, sayap sukan dan belia serta kawasan rekreasi. Fasa terakhir pula memberi fokus kepada pembinaan hotel dan terminal bas bersepadu.
KSSA juga bakal dihubungkan dengan sistem keretapi aliran ringan (LRT). Ini kerana stesen LRT bagi Laluan Shah Alam (LRT3) telah dibina berhampiran kawasan Stadium Shah Alam dan bakal beroperasi pada 2025.
Baca juga: Tak sangka gaji petik durian cecah RM9,000 sebulan!