Selamatkan Hutan Merapoh, pinta Timbalan Presiden Pas

Tuan Ibrahim meminta Hutan Merapoh diselamatkan.

Setelah sekian lama berdiam diri, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membuat kenyataan meminta semua pihak menyelamatkan Hutan Merapoh dan Gua Hari Malaysia.

Dalam satu kenyataan bertulisnya itu, bekas Adun Jengka itu berkata, Merapoh ialah satu hutan yang unik di sempadan antara Negeri Pahang dan Kelantan.

“Segala yang diimpikan oleh para pencinta alam ada di sana termasuklah hutan, gua, air terjun, sungai sehingga ke gunung yang menjadi kebanggaan Pahang iaitu Gunung Tahan,” katanya dalam kenyataan itu.

Namun, katanya, keindahan ini telah dicabuli dan dikhuatiri akan lenyap apabila aktiviti pembalakan mula dikesan di kawasan berkenaan sejak bulan lalu.

Katanya, air Sungai Merapoh kini tercemar dan keruh.

Sungai ini merupakan sumber air kepada Kampung Mentara, Berhamah, Kubang Rusa, Teluk Gunung, Persit, Ulu Kumbang dan Merapoh.

Sebelum ini, Pengasas Pertubuhan Save Merapoh Cave Mohd Laili Basir mendedahkan bahawa kira-kira 10,000 penduduk dari lapan kampung sekitar Merapoh terjejas akibat pencemaran sungai berkenaan dan mungkin lebih buruk pada masa depan sekiranya kawasan tadahan hujan tidak diselamatkan.

Lebih menyedihkan, katanya, kawasan yang dipilih untuk pembalakan ini juga menghuni gua-gua berusia ratusan juta tahun yang mempunyai keindahan dan keunikan bertaraf dunia yang pernah dimasukkan dalam senarai Geopark Kebangsaan.

Tuan Ibrahim Tuan Man

“Antara gua batu kapur yang istimewa di sini ialah Gua Hari Malaysia. Namun jalan pelancong menuju ke gua ini kini musnah akibat pembalakan,” katanya.

Menurut beliau, satu kempen yang rancak sedang berjalan untuk menyelamat Hutan Merapoh, Mukim Batu Yon yang kini dicerobohi dengan aktiviti pembalakan berskala besar.

Presiden Peka Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil telah mendedahkan bahawa kawasan hutan itu telah diserah milik kerajaan negeri kepada Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Corporation Sdn Bhd (LKPP) untuk tujuan pertanian berskala besar, katanya.

Awal bulan November, Exco Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin telah mengarahkan Jabatan Perhutanan Pahang diarah segera memantau isu pembalakan dan pembukaan hutan seluas 668 hektar di Mukim Batu Yon, Merapoh, Lipis.

“Apakah hasil pemantauan tersebut? Apakah ia disebabkan pembalakan haram? Atau lesen pembalakan telah diberikan kepada kawasan tersebut tanpa sebarang kajian Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) untuk mengetahui apa khazanah yang ada di kawasan tersebut?” soal beliau.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang, Rosli Zul pernah berkata Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) hanya perlu dibuat jika ia membabitkan pembalakan berskala besar.

“Jadi apakah ada unsur salah guna kuasa untuk sengaja memecahkan kawasan pembalakan dan memberikan lesen secara kecil-kecilan semata-mata untuk mengelakkan adanya keperluan untuk kajian EIA dilakukan, Walhal jumlah kawasan secara keseluruhannya memerlukan kelulusan kajian EIA?” katanya.

“Diharap kerajaan Pahang dapat memberikan jawapan dengan kadar segera.

“Pas menyokong penuh kempen selamatkan hutan Merapoh yang sedang tular di media sosial.

“Pas berjaya mengesan banyak lesen pembalakan di kawasan tadahan air telah diberikan contohnya seperti Kg Baru, Kampong Sungai Terlang Jerantut, Kg Som dan lain-lainnya,” katanya.

Kerajaan Pahang, katanya, perlu menghentikan pemberian lesen pembalakan dan kawasan tadahan air dan kawasan tanah tinggi tanpa sebarang kajian EIA atau mengambil kira khazanah yang ada.

“Membangunkan industri pelancongan dapat menambahkan pendapatan penduduk di sekitarnya manakala aktiviti pembalakan yang menguntungkan segelintir yang kaya dan berkuasa,” katanya.

Oleh itu, kerajaan Pahang perlu mempertahankan dan mengutamakan khazanah-khazanah ini yang boleh membawa pendapatan berpanjangan daripada industri pelancongan daripada sumber pembalakan yang hanya sekali lalu dan merosakkan khazanah pelancongan yang ada, katanya.

7.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 6.0
CATEGORIES
TAGS