Selamatkan hutan: Pinda kuasa mutlak Menteri Besar, desak NGO

Selamatkan hutan: Pinda kuasa mutlak Menteri Besar, desak NGO

Antara masyarakat Orang Asli yang turut berhimpun di Padang Merbok untuk berarak ke Parlimen.

Persatuan Aktivis Sahabat Alam Malaysia (KUASA) mendesak supaya peruntukan Perlembagaan berhubung kuasa Menteri Besar dalam pemansuhan perwartaan hutan simpan negeri dipinda.

Ahli Jawatankuasa KUASA, Shakila Zain berkata, kuasa mutlak Menteri Besar menyebabkan banyak hutan simpan dinyahwarta terutamanya untuk pembukaan ladang kelapa sawit yang dikategorikan sebagai “ladang hutan”.

“Kita perlu lihat apa yang kerajaan negeri buat sekarang. Makin banyak hutan simpan yang dibuka untuk ladang-ladang hutan.

Shakila Zain berucap di Padang Merbok sebelum berarak ke bangunan Parlimen.

“Kuasa mutlak Menteri Besar ini kita perlu pinda kerana menghalang demokrasi alam sekitar.

“Rakyat perlu tahu sebarang projek dilakukan. Kita perlu jadi orang pertama yang mesti tahu,” tegasnya ketika berucap dalam perhimpunan di Padang Merbok di ibu negara sebelum berarak ke Parlimen pagi ini.

Menurut Shakila, Menteri Besar tidak harus dibiarkan sesuka hati memansuhkan status hutan simpan di negeri masing-masing.

“Tahun 2020 bakal berlangsung dalam lima bulan lagi. Kita patut peka tentang hal ini.

“Akibat kuasa mutlak MB (Menteri Besar), kawan-kawan kita Orang Asli hilang tempat tinggal dan punca rezeki mereka,” tegasnya lagi.

Kira-kira 200 peserta termasuk komuniti Orang Asli dari Gerik, Perak berarak ke bangunan Parlimen pagi ini dalam program anjuran Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) Malaysia bagi menuntut pindaan Akta Perhutanan 1984 (Akta 313).

Untuk rekod, penyahwartaan hutan simpan (HS) di Semenanjung Malaysia kemudiannya diganti ladang sawit dilihat berlaku secara berleluasa.

Turut berlaku, aktiviti perlombongan dan projek akuakultur dalam banyak kawasan hutan simpan kekal di Semenanjung sekali gus mengancam kelestarian alam semula jadi yang wajib dipelihara.

Di Perak contohnya, seluas 14,315 hektar HS di negeri itu dinyahwarta hanya sepanjang tahun 2010 hingga 2016.

Antaranya, HS Gunung Besout dimansuhkan pada 9 Disember 2010 membabitkan seluas 3,178.14 hektar manakala 2,252.88 hektar HS Piah dibenarkan dipugar untuk ladang kelapa sawit selepas dimansuhkan pada 26 Mei 2016.

 

Aktivis alam sekitar turut menggunakan alat muzik sepanjang protes menuntut kuasa mutlak Menteri Besar berkaitan pemansuhan perwartaan hutan simpan dipinda.

 

Kehidupan ramai Orang Asli di Semenanjung terjejas akibat pemusnahan hutan bagi membuka “ladang hutan”.