Selamatkan Malaysia dari Bonnie & Clyde, gesa Tamrin

Selamatkan Malaysia dari Bonnie & Clyde, gesa Tamrin

Trend aset strategik dan projek negara jatuh ke tangan syarikat asing terutama dari China bahana kemelut kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendorong mantan ahli Umno dan PAS mengingatkan rakyat Malaysia agar menyelamatkan negara daripada mengulangi lagenda perompak terkenal Amerika Syarikat (AS), Bonnie & Clyde.

Datuk Tamrin Tun Ghafar yang juga bekas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu berkata, Najib hanya pandai berpura-pura dan sekadar bersandar pada populariti ayahnya Tun Razak iaitu bekas Perdana Menteri Malaysia kedua.

“Arwah bapanya (Najib) telah memberi harapan baru pada rakyat tetapi Najib hancurkan segala cita-cita bapanya. Tun Razak amat dihormati dan diyakini rakyat. Beliau walaupun berdarah Bugis tapi tak menipu dan tak merompak harta rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Mengulas kenyataan pemimpin PAS, Datuk Mahfuz Omar yang sebelum ini secara sinis mengucapkan tahniah kepada Najib ekoran pengumuman kerajaan kononnya 1MDB berjaya mengurangkan hutang sebanyak RM40 bilion dengan menjual tanah, Tamrin berkata, pandangan Mahfuz itu tepat walaupun Najib tidak mengendahkan.

“Tahniah diucapkan kepada Ahli Parlimen PAS Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar hasilkan tulisan yang tajam tetapi Najib Razak tetap tak peduli dengan segala teguran,” tegasnya yang juga anak kepada mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba.

Menurut Tamrin lagi, hal yang sama dapat dilihat pada ketokohan ibu Najib iaitu Tun Rahah yang disifatkannya begitu berbeza dengan isteri Presiden Umno itu, Datin Seri Rosmah Mansor.

“Begitu juga ibunya Tun Rahah, jauh lebih baik dari Rosmah, seperti langit dan bumi.Semoga Allah selamatkan rakyat dari pasangan Bonnie dan Clyde era ini,” ujarnya lagi merujuk kepada lagenda popular penjenayah dari AS yang turut difilemkan dengan judul “Bonnie & Clyde” pada 1967.

Pasangan kekasih, Bonnie dan Clyde adalah kisah benar ketika AS berada dalam zaman yang dipanggil Public Enemy Era (1931-1935) apabila penjenayah berleluasa dan rompakan bank kerap berlaku.

Aset strategik, projek mega negara milik korporat China

Sementara itu, Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli kelmarin berkata, pentadbiran Najib mutakhir ini cenderung untuk menjual atau menganugerahkan bidaan kepada syarikat-syarikat milik China termasuklah penjualan aset penjanaan elektrik, Edra Energy dan pegangan 40 peratus dalam pembangunan Bandar Malaysia.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan dalam kenyataannya kelmarin menyifatkan kemelut kewangan 1MDB akan mengheret negara sehingga banyak aset-aset penting negara akan dijual demi untuk mengambus hutang besar 1MDB.

Menurutnya, Malaysia dijangka memasuki era baru yang lebih sulit apabila banyak kepentingan negara berhubung kait dengan pemilikan oleh syarikat-syarikat kerajaan China yang sudah tentu merumitkan pendirian negara dalam isu-isu serantau seperti tuntutan bertindih ke atas Kepulauan Spratly.

“Saya berani meneka bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak juga sedang berkira-kira untuk menganugerahkan projek sistem keretapi laju Kuala Lumpur-Singapura yang berharga RM47 bilion itu juga kepada syarikat-syarikat berkait dengan kerajaan China,” tambahnya lagi.

TAGS