Selamatkan Malaysia: Husam akan ziarah Muhyiddin

Selamatkan Malaysia: Husam akan ziarah Muhyiddin

Sehari selepas Majlis Tertinggi (MT) Umno bertindak menggantung Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan Timbalan Presiden Umno, Datuk Husam Musa memberitahu akan menziarahi bekas Timbalan Perdana Menteri itu dalam masa terdekat.

Berpidato sempena pelancaran Kempen Selamatkan Malaysia di Kulai malam tadi, Husam menyifatkan hasrat untuk melihat rejim Umno-BN tumbang pada pilihan raya akan datang boleh menjadi kenyataan sekiranya semua pihak bersatu.

“Mesej kita, proses untuk perubahan, kita mesti bersatu. Muhyiddin, Insya Allah, saya nak ziarah (selepas) dia balik dari luar negara. Katalah (kalau) saya digantung, harap-harap dia ziarah saya,” ujar beliau dalam nada bergurau tetapi membayangkan kemungkinan tindakan sama dilakukan Pas terhadapnya.

Turut menyindir kepimpinan partinya, Husam memuji sikap Mahathir yang menolak pentadbiran Najib Razak walaupun bekas Naib Presiden Pas itu mengakui banyak kepincangan berlaku sepanjang Mahathir menjadi Perdana Menteri.

“Asas kita kena bina sekarang. Dalam Umno pun mahu lihat perubahan. Bukan semua pemimpin Umno gilakan kekayaan semata-mata. Ada lagi baki mereka yang kita kena olah perjuangan ini dengan cara yang baik.

“Mahathir walaupun berumur (tetapi) berani melawan. Mahathir boleh tampil. Polis ugut nak (Mahathir) ke penjara, dia berani ke penjara.

“Sesetengah-setengah orang ‘berkawan’ (dengan Umno). Ada yang menjadi ‘ketua kelas’ di tengah-tengah rakyat memberontak mahukan perubahan dalam saf kepimpinan,” bidasnya serentak mengundang ketawa dan sedikit kekecohan dalam kalangan hadirin.

Reaksi orang ramai di dewan Hotel Creator, Kulai itu dipercayai kerana Husam merujuk kepada pelantikan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din sebagai ketua kluster dakwah dalam Majlis Perundingan Islam (MPI) oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, 11 Februari lalu.

Sama-sama usaha

Dewan hotel dipenuhi hadirin yang ingin mengikuti pidato Husam.

Menjawab soalan penonton tentang wujudnya perselisihan dalam Pakatan Harapan khususnya antara PKR dan DAP selain Pas yang dilihat setakat ini ingin bersendirian, Husam yakin semua pihak mahukan perubahan yang lebih baik.

“Saya masih optimis tuan-tuan nak lihat perubahan. Walaupun ada sedikit keadaan tidak tersusun untuk kita lihat perubahan, kita sama-sama usaha.

“Mazlan Aliman (Ahli Jawatankuasa Amanah) buat (program) malam ini pun salah satu usaha untuk perubahan. Isu Mukhriz, Muhyiddin nampak ada titik persamaan,” ujarnya.

Sesi dialog menyaksikan pelbagai soalan diketengahkan hadirin termasuk daripada bekas ahli Umno serta kaum Cina dan India dengan paling menonjol bertanyakan permuafakatan parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan.

“Dulu Mahathir nak perubahan melalui BN supaya bila Najib diganti, Umno dapat sokongan tapi bila Muhyiddin kena gantung, Mukhriz kena buang, patut membolehkan Mahathir berfikir semula, yang penting Malaysia selamat. Teori Tun (Mahathir) dulu kalau Umno selamat, Malaysia selamat.

“Tapi kita selalu beritahu, Umno selamat atau tidak, itu dia punya fasal. Kuasa perubahan itu berlaku di luar Umno-BN tapi bukan tidak ada selera Umno yang ada hasrat untuk perubahan.

“Kita sudah ada kekuatan itu untuk berubah. Kita jangan memenjarakan diri kita sebaliknya menyusun perubahan dalam negara kita,” tegas Husam lagi mengakhiri program pada jam 11.30 malam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kempen Selamatkan Malaysia, Mazlan Aliman berkata, gagasan menggerakkan kesedaran rakyat tersebut melibatkan sokongan tokoh politik, agamawan, cendekiawan, badan bukan kerajaan (NGO) serta aktivis masyarakat tanpa mengira latar belakang politik, agama dan keturunan bagi mencapai hasrat supaya Malaysia diperintah secara adil dan beramanah.

“Malam ini sahaja sebagai contoh melibatkan banyak penyertaan NGO, antaranya termasuk Abim (Angkata Belia Islam Malaysia), Ikram (Pertubuhan Ikram Malaysia), Wadah (Wadah Pencerdasan Umat Malaysia), Impak (Institusi Modenisasi Pemikiran Anak Kelantan) dan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP),” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline selepas pidato Husam.

Dalam hal berkaitan, difahamkan turut hadir adalah ahli dan penyokong Pas sekitar Kulai tetapi pada hari yang sama juga program parti itu berlangsung melibatkan kehadiran menantu Presiden Pas, Zaharudin Muhammad dan pakar ekonomi parti itu, Dr Rosli Yaakop.

Mazlan Aliman memberikan kata-kata aluan.

TAGS