Malaysia Dateline

Selamatkan negara dari kerajaan pintu belakang

TAN KOK WAI

Sempena ulang tahun ke-55 Parti DAP, ini merupakan satu penghormatan bagi saya untuk berucap kepada rakan-rakan seperjuangan dan saudara saudari sekalian yang saya kasihi.

Lebih dahulu ingin saya menyatakan disini bahawa zaman-zaman awal penubuhan parti kita ini tidaklah mudah.

Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, DAP telah berkembang pesat, daripada sebuah organisasi yang terdiri daripada sekumpulan kecil individu dengan sumber yang terhad, yang sayangkan negara dan mahu melihat negara kita menjadi lebih baik.

Saya masih ingat detik saya menyertai Parti DAP 42 tahun yang lalu, pada masa itu, Ibu Pejabat Parti kita hanyalah satu premis yang kecil, dengan satu setengah staf, seorang kakitangan sepenuh masa dan seorang kakitangan separuh masa. Saudara Kit Siang dulunya menulis artikel-artikel beliau di atas kertas lilin yang kemudiannya dicetak menggunakan mesin cyclostyle.

Kini, lambang Roket terkenal di seluruh negara, dengan 1,914 cawangan yang aktif dan hampir 176 ribu ahli. Buat masa ini, kita adalah kumpulan terbesar dalam Parlimen Malaysia dan kita juga mempunyai 103 orang wakil rakyat di dewan-dewan undangan negeri di seluruh negara.

Perjuangan kita selama 55 tahun, menitiskan keringat, dengan pelbagai pengorbanan daripada para ahli-ahli veteran kita untuk merealisasikan cita-cita bersama kita selama ini, demi negara dan demi rakyat, menjadi satu pencapaian yang boleh dibanggakan bersama.

Sejak daripada hari-hari penubuhan Parti ini lagi, kita sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa hanya dasar-dasar yang meraikan kepelbagaian kaum dalam negara kita mampu untuk menyelesaikan masalah-masalah dalam negara kita dan menyatukan kita semua.

Usaha untuk membentuk masyarakat yang lebih adil dan saksama tidaklah mudah. Perkara ini menjadi satu perjuangan yang amat mencabar.

Semua pencapaian kita selama ini adalah hasil daripada inspirasi para pemimpin yang berani dan juga usaha-usaha kerja keras ahli-ahli yang berdedikasi dan setia bertungkus lumus demi Parti kita.

Rakyat Malaysia mahu kita untuk terus memacu agenda reformasi dan membawa dasar-dasar yang memenuhi keperluan semua rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda dalam negara yang kini berhadapan dengan cabaran yang amat sukar, terutamanya mereka yang baru sahaja menamatkan pengajian dan kini perlu mencari peluang pekerjaan dalam dunia yang sedang dilanda wabak Covid-19.

DAP telah membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa Parti kita ini adalah satu Parti yang dinamik, yang mampu untuk memberikan prestasi yang terbaik, baik sebagai pembangkang mahupun sebagai sebahagian daripada kerajaan.

Tak kiralah bilapun PRU akan datang, keazaman rakyat Malaysia untuk menyelamatkan negara kita daripada kerajaan pintu belakang yang dibentukkan oleh para pengkhianat dan kleptokrat telah sampai satu paras yang tertinggi.

Jelas sekali, rakyat bencikan PN kerana kegagalan mereka untuk mentadbir negara kita.

Dalam setahun yang lepas di bawah pemerintahan PN, kita dapat melihat penghakisan prinsip-prinsip demokrasi dan rasuah kembali menjadi semakin parah. Kita juga telah menyaksikan bagaimana propaganda perkauman — yang bertentangan dengan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara dengan masyarakat majmuk pelbagai kaum — yang membawa mudarat dan kerosakan kepada negara dan rakyat Malaysia.

Pada hari yang istimewa ini, saya menyeru anda semua untuk terus berjuang dan tabah dalam usaha untuk meraih kepercayaan dan sokongan rakyat Malaysia.

Saya sangat yakin, DAP sebagai sebuah Parti akan terus kekal berpegang kepada prinsip-prinsip kita dan terus menjadi sinar harapan kepada semua rakyat Malaysia.


Kenyataan media Pengerusi DAP sempena sambutan 55 tahun DAP.