Malaysia Dateline

Selamatkan nyawa bukan jawatan-Rafizi lancar petisyen bantah PRU15 semasa banjir

Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mendapat tekanan hebat dari Umno untuk mengadakan Pilihanraya Umum 15 (PRU15) secepat mungkin, justeru Rafizi Ramli hari ini melancarkan petisyen membantah PRU diadakan semasa banjir.

Petisyen yang dilancarkan semalam sudah ditandatangani 4,875 orang di bit.ly/TumpuBanjir

Menurut Rafizi, jika Parlimen dibubarkan dalam masa sebulan dari sekarang, PRU15 akan diadakan semasa musim banjir.

“Semua laporan kaji cuaca meramalkan bencana banjir yang lebih parah tahun ini.

“Belum pun musim tengkujuh sampai, kejadian banjir kilat terus berlaku di tempat-tempat yang sebelum ini tidak mengalami bencana banjir yang teruk.

“Presiden Umno, Dato’ Seri Zahid Hamidi mendabik dada bahawa Umno sanggup meredah banjir demi PRU15 yang lebih awal,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, tidak dinafikan semua parti politik akan bersedia secukupnya apabila PRU15 dipanggil tetapi itu bukan isunya parti-parti politik gah berkempen walaupun menghadapi banjir.

Selamatkan nyawa bukan jawatan-Rafizi lancar petisyen bantah PRU15 semasa banjir

Jelasnya, isu pokok ialah semua pihak perlu menggembleng tenaga untuk menghadapi banjir dan semua perkara yang boleh ditangguhkan atau dielakkan, wajarlah ditangguhkan dahulu.

“PRU15 semasa banjir bermakna lebih RM1 billion akan digunakan untuk menguruskan pilihanraya sedangkan dana rakyat itu lebih baik disalurkan kepada usaha menangani bencana.

“Ia juga bermakna beratus ribu penjawat awam perlu bertugas untuk mengendalikan pilihanraya sedangkan mereka wajar bersama-sama sukarelawan membantu mangsa banjir,” ujarnya.

Justeru katanya, hanya suara rakyat yang dapat menghantar isyarat yang jelas bahawa rakyat mahu ahli politik menumpukan perhatian menghadapi bencana banjir, bukannya mengejar jawatan-jawatan politik melalui pilihanraya.

“Bantu saya bawa suara anda kepada ahli-ahli politik. Tandatangan petisyen ini dan sebarkan kepada seramai mungkin melalui semua saluran.

“Saya hanyalah seorang rakyat. Dengan bantuan ratusan ribu suara rakyat yang lain, suara kita bersama akan didengari oleh ahli politik,” katanya lagi.

Baca juga: Harga barang naik, ringgit jatuh – Anwar gesa beri keutamaan bahas minggu pertama sidang Parlimen

Baca juga: Bayi perempuan ditemui ditinggalkan dalam beg