Malaysia Dateline

Selamatkan peniaga kecil, lanjutkan moratorium pinjaman bank hingga Mac

Pemuda AMANAH Terengganu mendesak kerajaan agar melanjutkan moratorium pinjaman bank sehingga Mac 2021 bagi membantu 7.7 juta peminjam dan 245,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketuanya, Zamir Ghazali berkata, tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih sanggup membayar jutaan sebulan kepada ahli Parlimen yang dilantik sebagai menteri dan mengetuai GLC namun keberatan untuk membantu majoriti rakyat adalah tindakan rakus dan mementingkan diri sendiri.

“Pemuda AMANAH Terengganu juga menasihatkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak hanya fokus berusaha merampas kerajaan negeri dari Pakatan Harapan dan sekutu namun letak keutamaan untuk membantu rakyat,” kata beliau kesal dengan apa yang berlaku di Sabah apabila Muhyiddin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dikatakan terlibat.

Menurutnya, lanjutan moratorium pinjaman bank sehingga Mac 2021 berupaya menyelamatkan perniagaan-perniagaan kecil daripada ditutup dan seterusnya membawa kepada pemberhentian pekerja yang akan menjejaskan lebih ramai individu dan keluarga.

Bagi Zamir, seorang usahawan muda Terengganu itu, pengumuman Menteri Kewangan yang mendakwa pihak bank “kerugian” RM6.4 bilion kesan moratorium sebenarnya lebih tepat disebut “penurunan keuntungan” bukanlah kerugian secara menyeluruh apatah lagi pihak bank mencatat keuntungan selepas cukai berjumlah RM32 bilion pada 2019.

“Adalah lebih utama pihak perbankan menunaikan tanggunganjawab sosial korporat mereka dengan melanjutkan tempoh moratorium ini setelah puluhan tahun mengaut keuntungan,” katanya.

Dalam keadaan ekonomi jatuh kesan dari pandemik Covid19, kegagalan kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman bank akan menyebabkan pakej ransangan ekonomi Prihatin tidak akan berkesan dan tidak berupaya membantu rakyat bawahan, katanya.

Pemuda AMANAH Terengganu percaya sekiranya moratorium yang bakal berakhir 30 September ini tidak dilanjutkan, jutaan rakyat Malaysia akan terjejas dan sudah tentu tidak akan memberi kesan baik pada pertumbuhan ekonomi negara, katanya.