Malaysia Dateline

Selamatkan Tasik Chini: Pahang mesti hentikan projek yang membinasa

Gambar terkini Tasik Chini yang diambil dari satelit masing-masing pada 30 Mei dan 4 Jun lalu.

Ada pihak mendakwa kawasan ini telah dipulihara dan ditanam semula manakala gambar yang tular sebelum ini (gambar atas) adalah gambar lama.

Tetapi gambar terkini (Foto 1 dan 2) ini menunjukkan sebaliknya. Secara jelas terdapat kawasan perlombongan di bahagian selatan tasik.

Kerajaan negeri Pahang harus serius memulihara semula kawasan rizab biosfera UNESCO ini dengan menghentikan projek-projek tidak mampan yang sedia ada dan mewartakan keseluruhan kawasan sekeliling / rizab tasik sebagai kawasan perlindungan, terutamanya sebagai kawasan Hutan Simpanan Kekal – Hutan Taman Negeri.

Foto 1
Foto 2

Walaupun telah ada pewartaan kawasan rizab Tasik Chini sebagai Hutan Simpanan Kekal yang dilakukan pada tahun 2019 dengan keluasan 4,900 hektar, namun ia tidak merangkumi keseluruhan kawasan rizab tasik khususnya di utara, selatan dan barat.

Jabatan Alam Sekitar Pahang hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa kualiti air Tasik masih tidak tercemar dan bersih – kita tidak melihat situasi ini pada kualiti air semata-mata, sebaliknya kita melihat keseluruhan ekosistem tasik Chini itu sendiri.

Bagaimana mungkin ekosistem tasik ini boleh dikekalkan sekiranya kawasan rizab sekelilingnya dimusnahkan begitu sahaja?

Berdasarkan tinjauan kami ke Tasik Chini pada 2017, Orang Asli Jakun sendiri mengaku bahawa selama ini tasik tersebut tercemar akibat sisa baja sawit, sisa perlombongan. Ini menyebabkan tumbuhan semulajadi yang asal telah banyak musnah dan didominasi oleh tumbuh-tumbuhan baharu yang asing.

Anak-anak mereka yang mandi di tasik itu mengalami kegatalan dan jumlah ikan semakin berkurangan dan tercemar.

Tasik Chini juga mengalami risiko pencetekan secara beransur-ansur akibat pemendapan sisa galian di dasar tasik lalu boleh mempercepatkan pengeringan tasik tersebut.

Gangguan terhadap ekosistem Tasik Chini bukanlah sesuatu yang baru. Bahkan, bermula sejak tahun 1990-an lagi, Sungai Chini yang mengalir keluar dari tasik itu, menuju ke dalam Sungai Pahang diempang untuk mengekalkan kedalaman tasik tersebut semasa musim kering.

Tindakan itu telah mengganggu ekologi semulajadi tasik itu dan menyebabkan kematian pokok-pokok di pesisiran tasik disebabkan oleh kenaikan aras air.

*KUASA berdaftar sebagai Persatuan Aktivis Sahabat Alam di bawah Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS).