Malaysia Dateline

Selami jerih perih marhaen cari rezeki di Kota Singa

SEAWAL jam 4 pagi setiap hari selain Ahad, penuh meratib sepanjang jalan menghala ke sempadan Singapura. Ada yang bermotosikal, kenderaan awam dan ada berdiri di tepian jalanraya menanti untuk dibawa masuk ke negara Kota Singa.

Majoriti besarnya adalah rakyat di Johor dan sudah pastinya mereka adalah rakyat di negara ini yang berkerja di seberang tambak sana. Mencari rezeki demi kesinambungan hidup adalah rencam yang terpaksa ditelan oleh mereka.

Menyelusuri nasib golongan yang merangkak mencari sesuap nasi di negara orang, tinjauan mendapati hampir setengah juta rakyat Malaysia berkerja di Singapura.

Tukaran mata wang yang besar memungkinkan mereka mendapat pendapatan yang lebih berbanding dalam negara sendiri.

Namun apa yang pasti, mutu hidup mereka terpaksa disisihkan dengan meninggalkan beberapa tanggungjawab sebagai seorang manusia normal dan bukan digelar sebagai ‘penagih kerja’. Hanya yang wujud adalah hari Ahad untuk mereka mengadakan riadah serta bersama keluarga untuk melempiaskan sedikit hela nafas yang berbaki.

Tidak ramai yang mahu tahu soal bagaimana mereka mengurus kehidupan mereka sebagai seorang manusia yang ada bergelar bapa, suami, isteri mahu pun sebagai seorang manusia bujangan. Hakikat yang pasti begitulah warna-warni setiap jam 4 pagi dan seawal senja di pintu masuk bandar Johor Bahru dan ‘Link Kedua’ Gelang Patah.

Tinjauan mendapati ada golongan berkeluarga yang ramai berkerja di Singapura. Lebih menyentak hati apabila terdapat ibu bapa yang terpaksa meninggalkan anak-anak tanpa jagaan demi berkerja di negara itu.

Saya telah mendapatkan maklumat isi hati sepasang keluarga yang menetap di Projek Perumahan Rakyat, Kempas Permai dan berkerja di Singapura. Bangun seawal 2 pagi sudah menjadi lumrah Maznah Ali, 44, untuk menyiapkan kelengkapan anak-anaknya seramai empat orang.

Sekitar pukul 3.30 pagi, beliau menaiki motosikal yang ditunggang oleh suaminya ke Tambak Johor untuk menunggu bas kilang yang akan membawa mereka masuk ke Singapura.

Menurutnya, beliau akan sampai ke rumah sekitar jam 9 malam serta melepaskan lelah sebelum bangun semula seperti biasa. Begitulah kehidupan seharian Maznah dan suami yang berkerja sebagai pembersih bangunan bergaji $1,500 sebulan iaitu RM4,500.

Suaminya pula berkerja dalam bidang yang sama cuma bangunannya sahaja berbeza demi menyambung hidup di negara yang tercinta. Sememangnya hirupan udara dini dan senja di kedua-dua negara ini telah lama menjadi mainan suami isteri ini menyara kehidupan mereka sejak lima tahun lalu.

Maznah tidak menyatakan bilakah waktunya untuk mereka mahu membatalkan hasrat berkerja di Singapura kerana jika berkerja di negara sendiri, gaji mereka tentunya akan menyusut akibat tukaran Ringgit Malaysia yang rendah.

Tinjauan seterusnya Ramzan Surip (bukan nama sebenar) yang hidup bergelandangan di stesen keretapi lama di bandar Johor Bahru.

Apabila ditanya mengapa beliau menjadi gelandangan, jawabnya adalah kerana rumahnya jauh dari tempat kerja iaitu Kluang dengan lebih 150 km dari Johor Bahru. Justeru, Ramzan hanya membuat pilihan balik ke rumahnya seminggu sekali atau sehari sahaja. Selebihnya dihabiskan dengan tidur di tepian kaki lima bangunan lama itu.

Beliau yang mempunyai dua cahaya mata terpaksa berjauhan dengan keluarga demi mencari sesuap nasi. Menurutnya, beliau ada merancang untuk membawa ahli keluarganya berpindah ke kawasan sekitar Johor Bahru.

Dalam pemerhatian kesesakan selain kenderaan, kesesakan manusia juga menghiasi setiap pagi di lokasi pemeriksaan kastam dan imirgresen. Wajah-wajah ini menggambarkan bagaimana kelemahan di sini berlaku secara nyata.

Kita mungkin boleh menyatakan bahawa pendapatan mereka yang berkerja di Singapura itu sebagai watak selesa. Namun ia masih belum mencukupi dengan kenyataan sebegitu.

Ya. Mana tidaknya, jika individu seperti Maznah pastinya akan mendapat pendapatan sebanyak RM4,500 sebulan dan sekiranya ditambah dengan suaminya pasti akan mencecah RM9,000.

Persoalan di sini timbul apabila ia berkaitan dengan instusi keluarga yang memperlihatkan masa depan anak-anak. Kasih sayang yang diperlukan sudah semestinya tidak mencukupi.

Kalau menurut Maznah, anak keduanya yang berusia 11 tahun pernah ditahan polis atas sebab terbabit dalam kecurian basikal di sekitar perumahan mereka.

Selain itu, anak sulungnya juga melalui detik sukar apabila telah digantung sekolah dan terlibat dalam kegiatan melepak serta bermain basikal lajak atau ‘monkey bike’. Ini yang menjadi dilema bagi pasangan suami isteri ini.

Manakala Ramzan pula menyatakan isterinya beberapa kali mengeluh akibat ketiadaan beliau di rumah yang ditagih oleh anak-anak mereka. Hal itu sudah berungkit selama lebih dua tahun ketika Ramzan berkerja di Singapura.

Semua pihak perlu memandang hal ini selain memberi galakan untuk mereka terus tabah. Kerajaan khususnya harus memikirkan mekanisme untuk memberikan kemudahan kepada golongan yang berkerja di Singapura.

Sebagai contoh mewujudkan rumah sementara atau transit di sekitar bandar Johor Bahru bagi menampung keluarga yang berjauhan serta keluarga seperti Maznah dan ditempatkan setempat bagi kemudahan pemantauan terhadap golongan ini.

Rakyat Malaysia yang berkerja di Singapura semakin hari makin bertambah. Justeru kerajaan perlu mengambil alih peranan sebagai ibu dan bapa kepada anak-anak pekerja ini.

Wujudkan aktiviti yang bermanfaat di tempat yang ditetapkan. Cara ini lebih mudah daripada membiarkan anak-anak peneraju masa depan tanah air dari terus hanyut tanpa pegangan hidup.

Selain itu, perumahan transit ini mampu membendung mereka dari terus bergelandangan tidur bersepah di bandar Johor Bahru. Hal tersebut meyakitkan mata pengunjung ke negeri ini serta ia akan menjatuhkan martabat Johor sempena Tahun Melawat Johor 2020.

Hentikan dari meletak harapan seperti sebelum ini yang menjanjikan peluang perkerjaan lebih baik kepada seramai lebih setengah juta pekerja di Singapura ketika sebelum PRU 14 lalu. Kenyataan dari ‘Menteri Budak’ itu perlu direalisasikan dengan cara yang lain seperti mewujudkan penempatan khusus kepada mereka.

Retorik kononnya merekalah wira rakyat juga perlu dihentikan segera dan sebaiknya bangkit membina pertolongan. Semua pihak yang mempunyai kuasa perlu memandang serius akan hal ini termasuk mereka yang pandai meneka-neka dan kasyaf dalam bab-bab pemerintahan ini.

Ribuan rakyat kita bersesak ke Singapura seawal jam 4 pagi. Foto SYAHIDAH ZAKARIA.