Malaysia Dateline

Selang tiga bulan, Air Asia Berhad bakal buang lagi ratusan pekerja

Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Berhad sekali lagi akan mengurangkan tenaga kerjanya ekoran Covid-19.

Astro Awani melaporkan tiada angka terperinci diberikan sumber tetapi dijangka melibatkan ratusan tenaga kerja AirAsia Berhad dalam masa terdekat.

“Ini keputusan yang amat sukar setelah beberapa bulan kita lalui tempoh sukar. Beberapa ratus tenaga kerja akan dibuang, tiada angka terperinci buat masa ini.

“Kriteria (siapa yang bakal dibuang) akan diberitahu nanti. Pekerja yang terlibat akan dimaklumkan melalui emel dalam tempoh 24 jam.

“Saya memohon maaf kepada tenaga kerja yang terlibat. Anda perlu kekal kuat dan kami akan terus menyokong anda dalam pelbagai cara,” kata sumber yang mendengar taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad Riad Asmat.

Menurut sumber itu, AirAsia bagaimanapun akan terus menyediakan bantuan asas seperti manfaat penjagaan kesihatan dan kupon penerbangan sehingga Disember ini kepada pekerja yang terjejas.

“Dari perspektif perniagaan, kami sudah mencuba sebaik mungkin sejak beberapa bulan lepas untuk mengurus syarikat.

“Bagi pekerja yang tidak terlibat, usaha harus ditingkatkan dalam menjalankan tugas anda. Gaji anda juga tidak akan dipotong,” tambah Riad.

Sementara itu sumber turut memaklumkan AirAsia X dalam sesi taklimat berasingan turut mengumumkan pengecilan tenaga kerja melibatkan bahagian operasi, teknikal, serta kru.

Proses pengecilan tenaga kerja itu akan menggunakan asas “yang terakhir sertai, yang pertama keluar” tanpa dinyatakan jumlah sebenar tenaga kerja yang terjejas.

Sumber turut memaklumkan beberapa ratus tenaga kerja juga akan ditawarkan cuti tanpa gaji sehingga keadaan kembali pulih.

Selain itu AirAsia X akan menyemak semula gaji pokok tenaga kerja dengan hanya 25 peratus sahaja bayaran.

Sumber memaklumkan tenaga kerja yang terlibat akan dimaklumkan pada 1 Oktober ini termasuk jumlah pampasan yang bakal diterima.

Jun lalu, AirAsia menamatkan perkhidmatan 111 kru kabin daripada 1,900 kru, 172 juruterbang dan 50 jurutera dalam usaha pengecilan operasi.