Malaysia Dateline

Selangkah nafi tempah slot AstraZeneca, akan ambil tindakan undang-undang

Selangkah Ventures Sdn Bhd, anak syarikat kerajaan negeri Selangor yang memiliki aplikasi Selangkah menafikan mereka terlibat dalam penempahan slot vaksin AstraZeneca sebagaimana yang didakwa.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Iesta Tengku Alaudin, dakwaan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) tidak mempunyai asas sama sekali bahkan CITF tidak pernah menghubungi mereka sebagaimana didakwa.

Sehubungan dengan itu beliau berkata, pihak Selangkah tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan dakwaan palsu yang mencemarkan reputasi mereka.

Selepas kecoh tentang aplikasi MySejahtera yang bernilai RM70 juta tidak boleh berfungsi ketika membuka tempahan Astra Zeneca semalam, CITF mendakwa Selangkah terlibat membuat tempahan secara besar-besaran.

CITF menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya mengenal pasti aplikasi SELangkah dibangunkan kerajaan Selangor telah membuat tempahan vaksin AstraZeneca dalam jumlah yang banyak tanpa persetujuan individu terbabit untuk menerima suntikan tersebut.

Katanya, perkara itu dikenal pasti sebagai punca terdapat sebilangan individu diberikan tarikh janji temu suntikan vaksin berkenaan walaupun tidak membuat tempahan itu sendiri.