Malaysia Dateline

“Selangor 4 hari tiada air jadi isu, Kota Bharu 4 minggu tiada air tak nak ulas”

Seorang pemuda berkongsi rasa geramnya di Facebook hari ini berikutan satu laporan berita di portal lidah rasmi Pas Harakahdaily yang menyiarkan keluhan orang ramai berhubung gangguan bekalan air di Selangor.

Sedangkan menurut pemuda tersebut, Hanif Yahaya yang menetap di Kota Bharu Kelantan telah mengalami gangguan bekalan air sudah empat minggu berbanding di Selangor hanya empat hari sahaja.

“Kami di Kota Bharu (lebih spesifik lokaliti Desa Rahmat) dah 4 minggu mengalami gangguan air. Dah 4 hari air tak masuk langsung ke rumah walaupun setitik.

“Jiran-jiran dah buat aduan berminggu-minggu, tapi saya baru buat minggu lepas melalui sistem PINTAS.

“Tapi aduan saya TAK DIBALAS langsung.

“Akhirnya saya ambil ikhtiar untuk berkongsi di media sosial sambil ‘tag’ mereka yang berkenaan dalam isu ni seperti Menteri Kasa Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Air Kelantan Official dan Pusat Khidmat DUN Tanjong Mas – Prihatin Berkebajikan YB Kak Ani,” luah pemuda terbabit.

Malangnya kata beliau, aduan telah dibuat tetapi sehingga sekarang tiada satu lori punĀ  datang menghantar air walaupun berjanji akan hantar ke rumahnya.

“Tiba-tiba pagi ni dalam group whatsapp, ada yang berkongsi berita Harakahdaily main isu gangguan bekalan air di Lembah Klang sudah terlalu kerap terjadi bagaikan tiada kesudahan.

“Geram sangat bila baca!

“Isu negeri lain pantas dijadikan berita untuk diulas. Isu kritikal yang berlaku di Kelantan sekarang ni dan sudah sekian lama langsung tak nak ulas.

“Sekurang-kurangnya gangguan air di Selangor diberi notis awal dan masalah dijangka hanya berlarutan 4 hari.

“Nak berpolitik pun, tengok dulu masalah sendiri. Kami ni dah 4 minggu air tak ada. Janji nak hantar air pun tak sampai-sampai,” kata Hanif.

Bermula hari ini hingga 16 Oktober, 988 kawasan di Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual susulan pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyelengaraan aset-aset kritikal yang menyebabkan penutupan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).

Bagaimanapun Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd telah memberi notis seminggu lebih awal kepada penduduk kawasan yang terlibat untuk bertindak menyimpan air yang secukupnya.