Selangor agih 60,000 kit saringan kendiri Covid-19

Oleh ARIF ATAN

Kerajaan negeri Selangor akan mengagihkan 60,000 kit ujian air liur percuma bagi tujuan saringan kendiri Covid-19 bermula bulan depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemberian kit tersebut khususnya kepada keluarga mangsa yang disahkan positif Covid-19.

Menurutnya, program yang merupakan antara langkah proaktif mengawal penularan wabak Covid-19 di negeri itu akan dilaksanakan melalui Pusat Khidmat Masyarakat dan Pejabat Penyelaras DUN.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri turut menyalurkan peruntukan tambahan RM1 juta bagi bantuan khairat kematian bernilai RM1,000 kepada 1,000 lagi keluarga mangsa Covid-19.

Permohonan bagi bantuan tersebut, jelasnya, dilanjutkan sehingga 31 Disember tahun ini, katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, kerajaan negeri juga akan menghulurkan bantuan kepada 10,868 golongan pesawah dengan peruntukan RM2,795,085.

Jumlah tersebut merangkumi benih padi, bahan kawalan serangga serta bahan perosak untuk meningkatkan pengeluaran padi sekaligus memelihara keselamatan bekalan makanan pada waktu ini.