Malaysia Dateline

Selangor akan pertimbang cadangan tukar bakul makanan kepada bantuan tunai

Kerajaan Negeri Selangor akan mempertimbangkan dengan mendalam berhubung cadangan menukar kaedah bantuan dari pemberian bakul makanan kepada sumbangan kewangan kepada mereka yang memerlukan.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Borhan Aman Shah bagaimanapun berkata, inisiatif berkenaan dibimbangi mengundang risiko lain seperti berlakunya kehilangan wang tunai selain mendatangkan risiko kepada petugas-petugas seperti risiko dirompak.

“Cadangan menukar kaedah bakul makanan kepada wang tunai merupakan cadangan yang baik iaitu memberi peluang kepada penerima untuk membeli barang keperluan mengikut kehendak ataupun keperluan mereka.

“Namun, pemberian wang tunai juga dikhuatiri akan disalah gunakan oleh penerima untuk membeli barangan yang bukan merupakan keperluan asas dan seterusnya menyukarkan kehidupan harian penerima,” katanya sewaktu Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan Datuk Rizam Ismail (Umno-Sungai Air Tawar) yang bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk menukar kaedah bantuan dari bakul makanan kepada bantuan berbentuk wang tunai.

Sementara itu Borhan berkata, inisiatif bakul makanan yang diperkenalkan melalui Pakej Kita Selangor merupakan salah satu inisiatif yang memberi manfaat kepada penerima yang terjejas melalui kaedah pemberian barang keperluan asas seperti beras, gula, tepung dan makanan asas yang lain.