Malaysia Dateline

Selangor akan terus pergiat usaha tangani gangguan seksual

Kerajaan negeri Selangor akan terus mempergiat usaha menangani kes gangguan seksual melalui pelaksanaan dasar dan juga polisi ‘anti gangguan seksual’ yang lebih komprehensif pada tahun 2022.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, buat masa ini bagi menangani kes gangguan seksual di tempat kerja, kerajaan negeri mengguna pakai pekeliling perkhidmatan bilangan 22 Tahun 2005 iaitu garis panduan mengendalikan gangguan seksual di tempat kerja dalam perkhidmatan awam.

Garis panduan itu katanya, mengandungi huraian lanjut berhubung kategori dan jenis perlakuan gangguan seksual, kesan-kesannya, tindakan untuk mengendalikan gangguan seksual di tempat kerja dan langkah-langkah pencegahan.

“Selain itu, sesi advokasi dan juga kempen kepada masyarakat umum juga diadakan secara tidak langsung melalui aktiviti-aktiviti dan program yang dijalankan di peringkat komuniti.

“Program dijalankan melalui Pusat Wanita Berdaya (PWB), Akademi Kepimpinan Wanita (AKW), perbincangan meja bulat (RTD) dan siri-siri webinar yang dianjurkan oleh pihak Wanita Berdaya Selangor bersama agensi kerajaan dan juga NGO-NGO Wanita,” katanya dalam ucapan penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Dalam pada itu, Siti Mariah juga menambah, kerajaan akan memperbanyakkan lagi pelaksanaan program dan aktiviti di semua peringkat untuk memberi kesedaran berkenaan isu gangguan seksual ini.