Malaysia Dateline

Selangor bayar RM500 setiap peniaga selepas bazar Ramadan ditutup selama 5 hari

Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk menyalurkan bantuan RM500 kepada setiap penjaja bazar Ramadan untuk meringankan beban mereka selepas semua bazar Ramadan akan ditutup selama 5 hari terakhir menjelang Raya mulai Sabtu ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah penutupan bazar Ramadan terpaksa dibuat demi menjaga keselamatan rakyat negeri ini ekoran peningkatan ketara kes Covid-19 di Selangor.

“Kerajaan Negeri ingin mengingatkan orang ramai untuk mematuhi sepenuhnya SOP, lebih-lebih lagi di hujung minggu ini mengambil kira jumlah kes yang sangat membimbangkan,” kata beliau dalam satu kenyataannya.

Walaupun Bazar Ramadan ditutup, bazar raya dan pasar malam dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP sehingga jam 10 malam dengan syarat yang ketat.

Antaranya, jumlah pengunjung pada satu-satu masa adalah dihadkan mengikut saiz bangunan / premis, sistem nombor giliran akan dikuatkuasakan, kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan masuk.

Selain itu, semua operator / pengurusan bazar wajar melantik pegawai pemantau bagi memastikan pematuhan kepada SOP.

“Mana-mana operator yang tidak mengikut SOP akan diberikan kompaun dan bazar terbabit akan ditutup serta-merta,” kata beliau dalam kenyataan itu.