Selangor belum terima surat PDRM tentang iklan Anwar, tidak berurusan dengan Twitter

Selangor belum terima surat PDRM tentang iklan Anwar, tidak berurusan dengan Twitter

Kerajaan negeri Selangor belum menerima sebarang surat rasmi daripada Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar yang meminta supaya papan iklan #BebasAnwar di negeri ini diturunkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pihaknya akan menunggu surat rasmi berkenaan sebelum mengambil sebarang tindakan susulan.

“Saya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu…sekiranya kenyataan itu keluar menerusi Twitternya, macam mana kita nak berurusan dengan Twitter,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan jabatan-jabatan kerajaan negeri di sini, hari ini.

Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Khalid menerusi Twitternya semalam yang meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor supaya menurunkan papan iklan #BebasAnwar kerana memaparkan unsur-unsur hasutan.

Khalid berkata papan iklan itu turut mengelirukan rakyat kerana merujuk Anwar sebagai ‘Tahanan Politik’.

Papan iklan #BebasAnwar itu dikesan di 20 lokasi di Selangor termasuk di Subang dan Rawang.

TAGS