Malaysia Dateline

Selangor benarkan 250 hingga 1,000 jemaah solat Jumaat

Selangor membenarkan solat Jumaat serta solat fardhu lima waktu dilakukan di semua masjid, surau dan musolla dengan kapasiti kehadiran jemaah lebih besar sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2.

Menerusi surat pekeliling dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), kehadiran solat jumaat boleh disertai 250 hingga 1,000 orang jemaah bermula Jumaat ini.

Jumlah 1,000 jemaah hanya dibenarkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang merupakan masjid negeri.

Surau kebenaran solat Jumaat pula hanya dibenarkan kehadiran seramai 250 jemaah sahaja.

Manakala solat fardu lima waktu, boleh dihadiri 100 hingga 500 jemaah termasuk pentadbir.

Pengarah Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, kelonggaran diberikan susulan penularan Covid-19 di negeri itu dalam tempoh beberapa hari terakhir telah menunjukkan trend penurunan yang agak konsisten.

Bagaimanapun, dalam melaksanakan ketetapan baharu itu, Jais menetapkan untuk semua pentadbir masjid, surau dan musolla di negeri itu memenuhi syarat-syarat dalam menjemput jemaah.

Antaranya, ahli kariah yang tinggal dalam kariah masjid atau surau kebenaran solat Jumaat sahaja dibenarkan untuk hadir solat Jumaat, namun ahli kariah mestilah telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Bagi solat fardhu lima waktu, ahli kariah yang tinggal dalam kariah masjid, surau atau musolla sahaja dibenarkan untuk hadir, dan telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Melaksanakan penggiliran jemaah mengikut hari atau waktu atau mana-mana yang bersesuaian jika bilangan jemaah yang menerima dua dos suntikan vaksin melebihi dari kapasiti jemaah yang dibenarkan.

Pada masa sama, pentadbir masjid, surau dan musolla perlu memastikan semua jemaah yang hadir terus mematuhi kawalan kendiri dengan memakai pelitup mulut dan hidung; membawa sejadah saiz standard; berwudhuk dari rumah; dan menggunakan sanitasi tangan ketika hadir dan pulang.

Jemaah yang tidak sihat dan bergejala serta mempunyai bacaan suhu lebih 37.4 °C adalah dilarang hadir.