Malaysia Dateline

Selangor beri pengecualian penuh duti hiburan masuk taman tema

Kerajaan Negeri Selangor bersetuju memberikan pengecualian penuh ke atas duti hiburan bagi bayaran masuk ke taman tema di negeri itu berkuatkuasa sehingga akhir tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengecualian duti yang telah bermula dari 18 Mac tahun lalu, akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.

Menurutnya, pelaksanaan tersebut akan memberi anggaran impak kewangan sebanyak RM26.35 juta kepada kerajaan negeri.

“Keputusan ini mengambil kira bilangan taman-taman tema yang menjadi tarikan pelancongan di Shah Alam, Putrajaya, Sunway dan Bangi serta bebanan kewangan yang dihadapi semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk mengurangkan kadar duti hiburan daripada 25 peratus kepada 5 peratus ke atas setiap bayaran masuk ke taman tema di Negeri Selangor selama lima tahun berkuatkuasa 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2026.

“Implikasi daripada pengurangan kadar ini, kerajaan negeri dianggarkan akan kehilangan hasil sebanyak RM21.04 juta setahun untuk tempoh lima tahun tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata, kelonggaran yang diberi berikutan pengusaha-pengusaha taman tema memerlukan ‘reinvestment cost’ yang tinggi berbanding pengusaha premis hiburan lain.

Menurutnya, mereka memerlukan pelaburan yang tinggi dalam pengubahsuaian, penambahbaikan fasiliti dan juga tarikan baru bagi menarik pengunjung untuk datang.

Justeru katanya, dengan pengecualian yang diberi, beliau berharap agar kelangsungan industri dan perniagaan akan lebih terjamin serta nasib para pekerja dalam sektor pelancongan, akan lebih terbela.