Selangor boleh beralih ke Fasa 2 PPN

Oleh NASUHA RAHMAN

Selangor salah satu negeri yang berada di Lembah Klang bakal beralih ke fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ini kerana seluruh Lembah Klang sudang mencapai kadar vaksinasi lebih 80 peratus.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam status Facebooknya berkata, perkara ini bakal diputuskan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 bersama barisan kabinet yang akan dipengerusikan beliau nanti.

“Syabas Lembah Klang kerana kadar vaksinasi cemerlang yang sudah mencapai lebih 80%. Dengan ini saya berpendapat bahawa Lembah Klang sudah boleh beralih ke fasa seterusnya.

“Semua ini bakal diputuskan selepas saya berbincang melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 bersama barisan kabinet yang akan dipengerusikan saya nanti,

“InsyaAllah. Once again I am so proud of everyone involved and this remarkable achievement,” kata beliau.

5 Julai lalu, lima negeri sudah memenuhi tiga nilai ambang beralih ke Fasa 2 Pelan PPN iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan kadar vaksinasi COVID-19 yang telah meningkat khususnya di Lembah Klang dan terus menunjukkan tanda-tanda awal yang positif.

Katanya, kemasukan pesakit COVID-19 ke ICU di hospital-hospital Lembah Klang menunjukkan trend penurunan selari dengan peningkatan liputan vaksinasi dos yang lengkap.

Katanya, di Hospital Sungai Buloh khususnya, kemasukan pesakit COVID-19 kategori 4 dan 5 semakin berkurangan.

“Marilah kita bersama-sama berusaha memastikan diri sendiri dan ahli keluarga tersayang yang layak menerima dos vaksinasi lengkap bagi mengurangkan risiko keterukan penyakit yang serius dan kemasukan ke hospital, mengurangkan risiko kemasukan ke ICU dan mengurangkan risiko kematian akibat COVID-19,” kata beliau.

Negeri Selangor antara yang menjadi perhatian setiap kali kes harian dimaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana negeri ini tiap-tiap hari menjadi juara kes tertinggi.