Malaysia Dateline

Selangor boleh tambah kerusi Dun, kata bekas Pengerusi SPR

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, Selangor boleh sahaja menambah bilangan kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun).

“Kerajaan negeri boleh isytihar mahu tambah 10 kerusi. Kenapa tidak? Panggil dewan bersidang, kuasa kerajaan negeri tambah bilangan kerusi,” ujarnya.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, tindakan yang mengikut perlembagaan itu akan menyebabkan SPR perlu membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Mengundang reaksi mengejutkan daripada sebahagian khalayak pada sidang media di Auditorium Institut Darul Ehsan (IDE), Shah Alam semalam, beliau secara spontan turut menjawab soalan daripada salah seorang hadirin di hadapannya.

“Sempat ke?” tanya wanita berkenaan.

“Tak sempat. Dia kena tangguh pilihan raya,” jawab Abdul Rashid.

“Kenapa (kerajaan negeri Selangor) tidak buat (tambah kerusi Dun)?” soal individu yang sama.

“Tak tanya!” balas Abdul Rashid serentak menyebabkan hadirin ketawa pada sidang media Kajian Persempadanan Semula Pilihan Raya Umum dan Kesan terhadap PRU-14 itu.

Terdahulu, Abdul Rashid menyifatkan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR pada masa ini sebagai tidak cerdik.

“Bukan cerdik sangat buat pun. Yang dia (SPR) tahu longgok Melayu sama Melayu, Cina sama Cina. MCA dan Gerakan boleh gali kubur.

“Dia longgok Melayu 80 peratus. Melayu sekarang sudah cerdik, sudah tahu apa yang dilakukan oleh BN,” katanya yang berkhidmat dengan SPR selama 27 tahun.

Berbeza dengan pendekatannya sebelum ini, beliau tidak menjadikan sesebuah kawasan didominasi mana-mana kaum.

“Saya dulu buat kawasan marginal, sama ada (pengundi) Melayu lebih sedikit atau Cina lebih sikit, sebab mahu pastikan wakil rakyat yang dipilih bertanggungjawab untuk semua kaum,” jelasnya.

Sehubungan itu, Abdul Rashid menyifatkan SPR sama sekali gagal mematuhi lima prinsip persempadanan bahagian pilihan raya antaranya, peluang yang munasabah mudah untuk pemilih keluar mengundi.

“Yang berlaku sekarang ialah dia (SPR) tidak ikut prinsip persempadanan. Sikit pun tak ikut antaranya tidak merentasi sempadan negeri,” tegasnya.

Beliau bahkan menganggap proses pilihan raya di Indonesia dan Thailand jauh lebih demokratik berbanding Malaysia.

“Orang (Indonesia dan Thailand) tidak mengadu sistem itu sendiri. Orang mengadu mungkin ada beli undi dan sebagainya tetapi tidak seteruk seperti kita.

“Ada 16 perkara yang perlu dalam pilihan raya yang demokratik tapi yang kita hanya ada tujuh, sembilan lagi tiada.

“Misalnya, media. Sekarang pun (BN) sudah kempen pilihan raya. Hari-hari bantai Tun Mahathir, bantai saya. Pemimpin di negara ini mesti diubah,” tambahnya lagi.