Malaysia Dateline

Selangor buka permohonan bantuan khairat kematian Covid-19 mulai esok

Kerajaan Negeri Selangor akan menyalurkan bantuan khairat kematian berjumlah RM1,000 kepada rakyat Selangor yang meninggal dunia disebabkan Covid-19, selaras dengan inisiatif Pakej Kita Selangor 2.0.

Dalam kenyataan hari ini, sebanyak 1,500 keluarga bakal menerima manfaat daripada inisiatif tersebut dengan keseluruhan peruntukan berjumlah RM1.5 juta.

Pemohon bagi inisiatif Bantuan Khairat Kematian RM1,000 ini mestilah warganegara Malaysia dan merupakan waris terdekat kepada si mati yang merupakan anak kelahiran Selangor dan menetap atau bermastautin di negeri itu melebihi 10 tahun.

Selain itu, si mati disahkan meninggal dunia berpunca daripada Covid-19 oleh hospital atau klinik kesihatan kerajaan atau pusat perubatan berdaftar dan dinyatakan secara jelas dalam surat kematian.

Dalam masa sama, si mati meninggal dunia di negeri Selangor pada tahun ini dan ke atas sahaja serta terhad hanya kepada satu permohonan bagi satu keluarga sahaja

“Permohonan bagi bantuan ini akan dibuka bermula 12 Julai 2021 sehingga 12 Ogos 2021, menerusi laman sesawang https://www.selangorprihatin.com.

“Penyaluran bantuan RM1,000 akan dikreditkan terus ke akaun bank waris dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh kelulusan permohonan sekiranya maklumat permohonan yang diterima adalah lengkap,” dipetik dari kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan mengenai bantuan ini boleh disalurkan menerusi talian hotline 24 jam, 1-800-22-6600.

Untuk rekod, Selangor terus mencatatkan kes kematian harian disebabkan Covid-19 tertinggi berbanding negeri dan wilayah lain.

Bagi tempoh seminggu setakat semalam, 45 peratus iaitu 286 kes kematian akibat Covid-19 daripada jumlah keseluruhan 633 kes dilapor di Selangor.