Malaysia Dateline

Selangor buktikan DAP bukan ancaman kepada Melayu dan Islam

Rekod kerajaan negeri Selangor sejak tahun 2008 sehingga kini membuktikan bahawa DAP tidak pernah menggugat kepentingan orang Melayu dan agama Islam walaupun mereka berada dalam sesebuah kerajaan.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, DAP telah berada dalam kerajaan negeri Selangor sejak tahun 2008 lagi dan kepentingan Melayu dan agama Islam terjaga dengan baik di negeri itu.

“Serangan kepada DAP ini hanya sentimen perkauman untuk menarik sokongan politik sahaja,” kata Khalid mengulas kempen sentimen membenci DAP yang giat di jalankan semula sekarang.

“Terbukti, tidak ada apa-apa masalah dan gugatan kepada kepentingan orang Melayu dan Islam di Selangor walaupun DAP sudah berada dalam kerajaan Selangor sejak 2008 lagi.

“Orang Melayu dan agama Islam di Selangor tidak pernah terjejas, masjid dan suraunya diimarahkan dengan baik penuh dengan aktiviti keagamaan dan ilmu,” kata Khalid.

Menurut beliau, pada tahun 2008, kerajaan Pakatan Rakyat ditubuhkan di Selangor yang terdiri dari PKR, Pas dan DAP.

Sejak tahun 2018 pula, kerajaan Pakatan Harapan yang terdiri dari PKR, AMANAH dan juga DAP memerintah Selangor.

Oleh itu, katanya, dakwaan DAP ini mengancam kepentingan orang Melayu dan Islam adalah mengarut dan tohmahan untuk mengajak orang Melayu membuat keputusan berdasarkan sentimen dan emosi semata-mata.

“Itu semua tohmah, fitnah dan dakyah nak takutkan Melayu dan mahu orang Melayu membuat kputusan berdasarkan sentimen.

“Yang rosakkkan orang Melayu ini Melayu juga, merekalah sebenarnya yang memusnahkan kepentingan Melayu dan Islam.

“Tengoklah kerajaan Melayu Islam yang ada. Judi mereka naikkan dari lapan yang kita benarkan dinaikkan kepada 22 kali.

“Dulu masa kerajaan PH yang ada DAP kita bagi bantuan kepada sekolah-sekolah tahfis, sekarang mereka dah tak bagi lagi.

“Ini yang terbaru ni, ada arak bernama Timah pula yang dilancarkan. Semuanya berlaku dalam kerajaan Melayu dan Islam,” kata Khalid Samad.

Bagi beliau, dasar sesebuah kerajaan ditentukan bersama bukan oleh DAP walaupun mereka berada di dalam kerajaan.

“Masa kita (AMANAH) dalam kerajaan pusat dahulu, kita cadangkan dasar kerajaan adalah Rahmatan lil alamain, Dap setuju, tak ada masalah padahal Rahmatan lil alamin itu dari Al Quran,” kata ahli Parlimen Shah Alam itu.

Menjelang pilihan raya umum ke 15, kempen anti DAP kembali dihidupkan oleh Umno dan Pas.

Ia juga dimainkan oleh pemimpin Umno Melaka kononnya mereka tidak rela bekerjasama dengan DAP di Melaka.

Padahal, Umno Melaka sendiri mengaku, mereka sudah berunding dengan DAP untuk bekerjasama bagi membentuk kerajaan bersama, namun ditolak oleh DAP.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan rundingan tersebut berlangsung sebelum tumbang kerajaan Melaka yang dipimpin Ketua Menteri (KM) Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga menyebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) terpaksa dibubarkan.

“Saya cakap terus terang saya berunding malam sebelum itu dengan kepemimpinan DAP, saya menawarkan beberapa solusi untuk kita membendung supaya ini (kerajaan negeri tumbang) tidak berlaku.

“Tetapi adalah lebih malang saya melihat ia tidak diterima pimpinan DAP pada waktu itu,” katanya dalam wawancara secara maya dengan sebuah portal.

Jelasnya, beliau diberi tanggungjawab mewakili partinya iaitu Umno untuk berunding dengan pimpinan DAP Melaka, ia diatur oleh seorang pemimpin atasan Umno yang enggan dinamakannya.

“Ini bukan kerajaan negeri, ini antara parti. Saya tidak mewakili kerajaan negeri sewaktu saya berjumpa dengan pucuk pimpinan DAP,” katanya.