Malaysia Dateline

Selangor digesa utara cadangan pada KPM, laksana penjajaran jadual sekolah

Kerajaan Selangor digesa untuk mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melaksanakan semula penjajaran semula jadual persekolahan.

Naib Ketua Pemuda AMANAH Gombak, Shazmir Hariz berkata, kerajaan negeri boleh meminta kepada KPM untuk menyusun sesi persekolahan secara berselang seli bagi mengelakkan murid-murid keluar ke sekolah setiap hari yang pastinya mewujudkan peluang jangkitan berlaku.

Selain itu katanya, penjajaran ini boleh mengelakkan pertembungan sesama sendiri secara maksimum apabila sebahagian kecil murid belajar secara atas talian atau PdPR dan sebahagian murid lagi bersekolah.

“Usaha untuk mengurangkan pergerakan rakyat Selangor khususnya murid dan guru sekolah harus dilaksanakan untuk meminimumkan perjumpaan secara bersemuka dan jangkitan akan berkurang.

“Untuk makluman semua, dari PKPB bulan Oktober dilaksanakan, kes di negeri Selangor sentiasa tinggi, apabila sekolah dibuka, ia kekal tinggi di Malaysia.

“Oleh itu, dengan penjajaran jadual ini membolehkan kadar jangkitan dikurangkan dalam masa yang sama meredakan kerisauan guru, murid dan ibubapa terdedah pada jangkitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Shazmir menegaskan, hanya kerajaan negeri sahaja yang mampu menyatakan cadangan mereka dan dipertimbangkan oleh KPM memandangkan banyak syor-syor dari pihak lain seperti parti politik pembangkang mahupun NGO tidak mendapat maklum balas yang jelas dari KPM.

Justeru katanya, atas kapasiti sebagai sebuah kerajaan negeri yang kesnya kekal tinggi dan kluster pendidikan di Selangor kekal meningkat, maka layaklah jika kerajaan negeri Selangor berunding dengan pihak KPM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pelaksanaan penjajaran semula jadual persekolahan.