Jabatan Meteorologi Malaysia meletakkan hampir seluruh daerah Selangor dalam zon merah iaitu bahaya memandangkan hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku.
Data yang dikeluarkan setakat 10.30 malam tadi menyenaraikan daerah terbabit ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat dan Hulu Langat.
Dalam masa sama, 39 pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor dengan 19 daripadanya di daerah Klang dibuka berikutan hujan lebat tanpa henti.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menerusi hantaran di Facebook berkata, kerajaan negeri menjangkakan lebih banyak PPS akan dibuka memandangkan hujan masih lebat dan banjir belum surut.
Menurutnya lagi, kerajaan negeri sedang menggerakkan seluruh kekuatan yang ada bagi usaha terbabit.