
Selangor Fruits Valley atau SFV yang terletak di jalan antara Rawang ke Bestari Jaya kini menjadi tarikan baru pelancongan di negeri Selangor.
Ladang buah-buahan milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang mula dibuka semula kepada orang ramai Julai lalu adalah sebuah ladang buah-buahan tropika yang berkeluasan 646 hektar.
Pada hujung minggu, 800 hingga 1000 pengunjung yang meminati agro tourisme memenuhi ladang buah-buahan ini.
Tanaman yang menjadi pilihan adalah seperti buah belimbing, nangka madu, kelapa muda, jambu batu, rambutan, pulasan, betik dan sebagainya.

Kini lebah kelulut yang menghasilkan madu menjadi tarikan orang ramai untuk ke ladang ini.
Lebah kelulut yang diternak di bawah pokok kelapa pandan ini mempunyai rasa dan aroma tersendiri iaitu kelapa pandan.
Orang ramai masuk ke ladang ini dengan menggunakan trem yang disediakan khas oleh pihak pengurusan ladang ini.
Ladang ini diwujudkan bagi menyahut hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk memodenkan sektor pertanian selaras dengan visi dan misi PKPS.
Melalui pembangunan SFV ini, ia akan dapat menjadikan kawasan tersebut lebih berdaya maju serta komersil di samping menjana industri pertanian dan asas tani negeri.






