Malaysia Dateline

Selangor kekal hormati mandat rakyat, kata MB Selangor

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shari hari ini memaklumkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Sultan Salahuddin Abdul Haziz Shah berpuashati dengan penjelasan situasi politik mutakhir ini.

Amiruddin dalam kenyataannya berkata, hari iniĀ  bersama dua lagi pemimpin utama Pakatan Harapan Selangor yang diwakili Pengerusi DAP Selangor Gobinf Sigh, Pengerusi AMANAH Selangor Ir Izham Hashim telah mengadap Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pagi ini.

“Saya selaku Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor, YB Gobind Singh Deo, Pengerusi DAP Selangor dan YB Ir Izham Hashim, Pengerusi AMANAH Selangor menghadap di Istana Bukit Kayangan Shah Alam pagi ini.

“Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah berpuas hati dengan penjelasan bahawa kerajaan sedia ada ingin meneruskan komitmen bagi merealisasikan mandat rakyat Negeri Selangor pada Pilihanraya Umum 2018 yang lepas.

“Tuanku memberi perkenan agar pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor berfungsi dan berjalan seperti biasa,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Justeru katanya lagi, pentadbiran kerajaan negeri berikrar untuk kekal menghormati mandat rakyat bagi melaksanakan agenda yang bermanfaat untuk negeri dan rakyat Selangor seluruhnya.

Terdahulu Amiruddin telah bermesyuarat dengan pengerusi parti-parti komponen kerajaan termasuk Pengerusi Bersatu Selangor Datuk Abdul Rashid Asari bagi membincangkan hala tuju Selangor.

Selepas pertemuan ini difahamkan Amiruddin juga dijangka akan mengadakan pertemuan dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dari Pakatan Harapan di kediaman rasminya hari ini.

Walaupun berlaku perubahan landskap politik yang mana Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri interim oleh Yang Dipertuan Agong, politik di Negeri Selangor akan kekal diterajui PH.

Selangor mempunyai 56 kerusi Dun dan pada ketika ini, komposisinya adalah 21 kerusi dikuasai PKR, DAP (16), Amanah (8), Bersatu (5), Barisan Nasional (5) dan Pas (1) yang telah memerintah negeri itu selama 3 penggal.