Selangor kemungkinan haramkan vape

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Selangor tidak menolak kemungkinan bertindak selari dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada Isnin lepas yang mengharamkan penggunaan rokok elektronik (e-rokok) dan vape.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Negeri, Dr Daroyah Alwi bagaimanapun  perkara itu hanya akan diputuskan selepas kerajaan negeri mengadakan bengkel pada 11 dan 12 Jan depan bagi mendengar pandangan semua pihak terlibat termasuk pengusaha vape.

“Dalam bengkel itu, kita akan jemput semua Exco negeri, Jabatan Kesihatan, Jabatan Mufti Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pendidikan, Penasihat Undang-undang dan Unit Perancang Ekonomi (UPEN).

“Untuk keadilan bersama, bengkel berkenaan juga akan dihadiri pengusaha vape untuk beri taklimat kepada kita. Kita perlu berlaku adil kepada mereka kerana pelaburan untuk mulakan perniagaan itu besar, jadi kita perlu dengar pandangan mereka,” katanya hari ini.

Dr Daroyah berkata buat masa ini kedudukan penggunaan e-rokok dan vape di Selangor masih kekal dan kedua-duanya boleh dijual beli tanpa halangan.

Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri meminta PBT menjalankan kempen kesedaran kepada masyarakat supaya mereka memahami isu vape misalnya daripada aspek keburukan dan kesan peranti elektronik serta cecair perisa yang terkandung di dalamnya.

Tambah beliau, keputusan mengenai status e-rokok dan vape akan diumumkan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Semalam, Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dalam satu kenyataan berkata, sebarang keputusan berkaitan hukum penggunaan e-rokok dan vape di Selangor hanya akan diputuskan tahun hadapan.

Mohd Tamyes berkata Jawatankuasa Fatwa negeri akan bermesyuarat Januari depan, setelah mendapat maklumat tambahan berkaitan perkara berkenaan daripada kerajaan negeri.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin pada sidang media selepas Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Isnin lepas, berkata semua ahli muzakarah bersetuju penggunaan rokok e-rokok dan vape adalah haram.

Katanya keputusan itu dibuat setelah membuat pertimbangan daripada semua sudut termasuk syariah, perubatan dan saintifik serta unsur pembaziran dan budaya tidak sihat.

TAGS