Kerajaan Negeri Selangor telah mengenalpasti tiga kumpulan mangsa banjir yang dikategorikan sebagai penerima bantuan Selangor Bangkit berjumlah RM1,000.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tiga kumpulan tersebut terdiri daripada mengsa yang duduk di pusat pemindahan sementara (PPS) Awam; mangsa yang duduk di PPS Swasta ataupun persendirian; dan mangsa yang terkesan dengan banjir tetapi tidak berpindah ke mana-mana PPS.
Menurutnya, bagi kategori pertama dan kedua, pengumpulan nama dan maklumat sudah pun dibuat sewaktu mangsa ditempatkan di PPS lagi.
“Pendaftaran bagi kategori ini akan bermula pada Rabu, 29 Disember 2021 secara berperingkat.
“Bagi kategori ketiga pula, iaitu mangsa yang tidak berpindah ke PPS, pegawai dan anggota akan membuat pendaftaran rumah ke rumah supaya mangsa tidak perlu ke mana-mana. Ini pula akan bermula pada 3hb Januari 2022,” katanya dalam sidang media di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini.
Terdahulu, kerajaan negeri memperuntukkan RM100 juta untuk ikhtiar Selangor Bangkit susulan banjir teruk yang melanda negeri itu.
Katanya, peruntukan itu termasuk bantuan RM10,000 kepada waris mangsa yang meninggal dunia akibat banjir; RM1,000 setiap keluarga yang terkesan bencana banjir; bantuan pembersihan kawasan perumahan serta pemulihan infrastruktur yang mengalami kerosakan serta bantuan kesihatan.
“Permohonan secara dalam talian akan dimulakan melalui hotline dan laman web rasmi setelah selesai pendaftaran offline bagi mengelakkan pertindihan data agar proses penyaluran bantuan dapat selesai sesegera mungkin, selewat-lewatnya 31hb Januari 2022,” tambahnya dalam sidang media.
Dalam perkembangan lain Amirudin berkata, orang ramai hanya perlu membuat laporan polis jika kehilangan dokumen kad pengenalan diri tetapi tiada keperluan untuk membuat laporan polis untuk tujuan banjir.
Katanya, pegawai daerah telah diminta untuk menyelaras dengan ketua polis daerah bagi menempatkan kaunter Polis Diraja Malaysia (PDRM) di setiap One Stop Centre, bagi tujuan pengesahan dokumen dan laporan polis jika diperlukan.
“Bagaimanapun mangsa tidak perlu ke balai polis,” katanya dalam sidang media hari ini.