Malaysia Dateline

Selangor kini ada 1,000 sukarelawan kesihatan melalui SUKA

Selangor kini mempunyai 1,000 sukarelawan yang berdaftar di bawah Sukarelawan Komuniti Kesihatan Selangor (SUKA) yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk menjalankan aktiviti kesihatan awam terutama berkaitan pandemik Covid-19 di kawasan DUN masing-masing.

SUKA dilancarkan oleh Menteri Besar Selangor semalam hasil inisiatif yang dibuat oleh Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud bagi membantu orang ramai menjalan aktiviti kesihatan awam khasnya berkaitan pandemik Covid-19.

Dengan berpusat di pusat khidmat kawasan Dewan Negeri masing-masing, sukarelawan ini kini bertebaran di seluruh Selangor.

Semasa pelancaran semalam, Pertubuhan Gagasan Shariffudin yang dipimpin oleh YAM Tengku Shariffuddin Shah telah menyampaikan sejumlah 30,000 unit kit ujian kendiri Covid-19 yang bernilai RM900,000 kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Hari Pelancaran Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA).

Iniatif ini turut dijalankan dengan kerjasama Dewan Usahawan Malaysia yang dipimpin oleh Tuan Bariqul Zaman sebagai pihak yang menguruskan sebahagian sumbangan tersebut yang akan diagihkan bersama-sama Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dan setiap penyelaras DUN.

“Pertubuhan Gagasan Shariffudin bersama Dewan Usahawan Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih kepada YB Dr Siti Mariah, Exco Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita serta Keluaga di atas kerjasama yang cukup baik untuk melancarkan iniatif ini,” kata Bariqul Zaman Bin Batharul Zaman, Pengerusi Dewan Usahawan Malaysia, Ketua Koordinator SUKA Dun Kota Damansara

Menurut beliau, iniatif ini bukan hanya tertumpu pada mereka yang hanya dijangkiti penularan wabak Covid-19, malah ianya merangkumi konteks yang lebih meluas terutamanya masyarakat setempat yang mungkin kurang bernasib baik mempunyai kesukaran untuk memiliki kit ujian kendiri Covid-19, sebagai contoh guru-guru sekolah dan seluruh rakyat negeri Selangor.