Selangor kurang bekalan vaksin bukan kapasiti, jumlah PPV

Oleh ARIF ATAN

Selangor pada masa ini menghadapi masalah kekurangan bekalan vaksin Covid-19 bukan kapasiti mahupun jumlah Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerima 1,189,350 dos setakat semalam.

Menurutnya, jumlah yang telah diagihkan pula adalah sebanyak 954,051 dos sekali gus menyaksikan dos semasa dalam simpanan berbaki kira-kira 20 peratus iaitu 235,277 unit dos.

“Bekalan ini hanya dijangka bertahan untuk dua hari lagi sekiranya proses ini dijalankan pada kapasiti penuh PPV.

“Namun, difahamkan hari ini JKNS akan menerima sekitar 60,000 unit dos lagi dan Kerajaan Negeri dengan ini mengucapkan terima kasih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang itu berkata, kapasiti vaksinasi harian keseluruhan PPV di Selangor adalah 87,616 orang dengan 73 PPV di seluruh negeri pada masa ini.

“Namun, dengan jumlah bekalan sedia ada ada, kadar suntikan harian saat ini adalah 53,037 orang sahaja,” ujarnya.

Semalam, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) menafikan dakwaan beberapa PPV di Selangor berdepan risiko terpaksa dihentikan operasi susulan kekurangan bekalan vaksin.

Penasihat Khas (Sains) kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, Prof Madya Dr Mohd Ghows Mohd Azzam, berkata capaian dalam Sistem Pengurusan Pelawat (VMS) mendapati Selangor ketika ini memiliki kira-kira 339,000 dos vaksin.

Jumlah itu, katanya, mencukupi bagi proses pemberian vaksin kepada orang ramai, sekurang-kurangnya seminggu lagi.

Mengulas lanjut, Dr Siti Mariah berkata, dengan Program Vaksin Selangor yang akan diumumkan Menteri Besar, negeri itu akan mampu mencapai sasaran CITF yang disebut oleh Menteri Penyelaras PICK dengan masing-masing 135,000 dan 165,000 kadar vaksinasi harian menjelang Julai dan Ogos.

Vaksinasi di Selangor setakat 26 Jun 2021.