Malaysia Dateline

Selangor laksana peraturan tambahan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri melalui koordinasi PBT-PBT seluruh Selangor akan menguatkuasakan beberapa tindakan yang digariskan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.

Kata beliau, arahan-arahan ini berkuatkuasa serta merta sehingga 31 Mac 2020 sebagaimana ditetapkan melalui Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Tindakan-tindakan tersebut jelasnya adalah seperti berikut:

i. Stesen-stesen minyak dibenarkan beroperasi 24 jam, tetapi kedai serbaneka masing-masing hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 12.00 tengah malam sahaja;

ii. Semua restoran, restoran hotel, restoran 24 jam hanya dibenarkan beroperasi secara pembelian bawa balik (take away) dan khidmat penghantaran (delivery) dari jam 6.00 pagi hingga 12.00 tengah malam sahaja;

iii. Kedai runcit dan kedai serbaneka 24 jam hanya dibenarkan beroperasi sehingga 12.00 tengah malam, manakala pasaraya juga boleh beroperasi terhad kepada bahagian peruncitan (groceries) dan penjualan makanan sahaja sehingga 12.00 tengah malam;

iv. Pasar awam dan pasar borong hanya dibenarkan beroperasi dari 5.00 pagi hingga 4.00 petang dengan pengawalan spesifik pihak-pihak berkuasa untuk memastikan kepadatan pengunjung dapat dikawal bagi menjamin penjarakan sosial (social distancing) yang munasabah;

v. Kedai-kedai servis kenderaan dan kedai alat ganti kenderaan dibenarkan beroperasi dari 9.00 pagi hingga 4.00 petang;

vi. Trak saji (food truck), kedai dobi, dobi layan diri (self service), kedai cuci kereta tidak dibenarkan beroperasi.

“Kerajaan Negeri Selangor berharap agar pelaksanaan tindakan-tindakan ini dapat dihormati dan dipatuhi sewajarnya oleh seluruh rakyat negeri Selangor,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, keputusan itu dibuat selepas satu Mesyuarat Koordinasi ‘Selangor Gempur Covid-19’ bersama-sama Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pegawai-pegawai Daerah Negeri Selangor pada Jumaat 20 Mac 2020.

Katanya, mesyuarat ini antara lain untuk menyelaras tindakan tindakan yang perlu diambil bagi tujuan menguatkuasa tindakan-tindakan tambahan susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan.